Penduduk Kg Setia Jaya kekal hingga proses penempatan baharu selesai


 Oleh: Helmi Mohd Foad



Penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak boleh menarik boleh nafas lega apabila pihak TAR Education Foundation tiada halangan untuk mereka kekal tinggal di situ sehingga proses penempatan baharu diselesaikan.



Perkara itu merupakan antara persetujuan yang dicapai dalam perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bersama wakil TAR Education Foundation di pejabatnya di Putrajaya hari ini.



Dr Zaliha berkata secara keseluruhannya, beliau mendapati perbincangan tersebut merupakan satu perbincangan yang positif.



"Saya yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.



"Berdasarkan hasil perbincangan tersebut, pihak TAR Education Foundation secara prinsipnya tiada halangan untuk membenarkan penduduk untuk terus berada di Kampung Setia Jaya sementara isu penempatan penduduk diselesaikan," kata beliau dalam kenyataan selepas pertemuan tersebut.



Dr Zaliha berkata perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan solusi yang terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut.

"Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.



Perjumpaan selama hampir sejam itu di antara TAR Education Foundation diwakili oleh Tan Sri Lim Keng Cheng dan Datuk Seri Yew Teong Look.



Turut hadir Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.



Sebelum ini media melaporkan seramai 512 penduduk kampung tersebut diberi notis untuk berpindah dalam tempoh 18 bulan selepas mendapat perintah mahkamah pada bulan lalu.



Kes perpindahan penduduk kampung Setia Jaya dijadikan isu besar oleh lidah rasmi Pas, Harakah.



Dipropagandakan kononnya Kerajaan Perpaduan menggadaikan tanah yang sekian lama diduduki oleh orang Melayu sejak era Perdana Menteri Tun Razak itu kepada pemaju Cina.



Sedangkan urusan notis mengosongkan tapak tersebut telah bermula sejak era pemerintahan kerajaan PN. Tiada seorang pun pemimpin PN yang memperjuangkan nasib penduduk Setia Jaya pada tahun 2022.

 


No comments: