BERITA BAIK BUAT UMNO DAN KERAJAAN PERPADUAN

 


BN diramal mampu menang PRK DUN Pelangai - IDE




Menjelang saat pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai esok hari, Institut Darul Ehsan (IDE) yang sering membuat ramalan tahap sokongan pengundi menjangkakan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berupaya mempertahankan kemenangan Kerajaan Perpaduan di Pelangai.



Menurut kenyataan IDE yang dikeluarkan petang tadi, institut itu meramalkan BN mempunyai kelebihan di sekurang kurangnya 4 Daerah Mengundi (DM), iaitu Machis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak di samping kawasan Felda.



Cuma majoriti sama ada tipis atau bergaya setinggi 4,000 undi sebagaimana diperolehi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada Pilihan Raya Umum lalu amat bergantung kepada faktor keluar mengundi esok hari.



"Unjuran terbaik bagi BN adalah mengatasi PN dengan kelebihan 33% undi dengan jangkaan BN mendapat 64% undi dan PN mendapat 31% undi.



"Unjuran terendah pula BN memperolehi 10% perbezaan undi dengan PN disebabkan faktor peratusan turun mengundi dan peralihan undi PN kepada BN.



"Namun, dalam senario ini BN masih boleh menang tipis mengatasi PN," kata kenyataan itu.







Bagaimanapun berdasarkan tinjauan masyarakat yang dilakukan IDE, pengundi masih mengharapkan perubahan terhadap isu ekonomi, harga barang dan keperluan hidup bagi isu nasional. Isu tempatan pula masyarakat mahukan penambahbaikan terhadap lampu jalan, jalan dan kemudahan asas yang boleh dijanjikan oleh BN sebagai kerajaan memerintah negeri dan Persekutuan.



Bagi PN pula, gabungan itu dijangka mendapatkan undi generasi muda di Pelangai dengan penguasaan sehingga 55% sokongan.



"Dalam PRK kali ini PN dilihat menumpukan untuk meraih undi di Felda dan beberapa kampung tradisi serta pengundi muda.



"PN mempunyai kelebihan untuk pola pengundian di bawah 40 tahun sekitar 50% - 55%. BN menguasai undi 51 tahun ke atas yang tegar BN. Wujud perbezaan pola pengundian berdasarkan umur bagi undi Parlimen dan DUN bagi kawasan majoriti Melayu," kata kenyataan itu.






Manakala bagi undi masyaraat Felda, IDE berkata, BN menguasai keseluruhan sokongan secara purata.



"Wujud 3 kawasan utama Felda di Pelangai iaitu Felda Sungai Kemasul, Felda Chemomoi dan Felda Sungai Kemahal. Pertembungan 3 Felda, majoriti Melayu ini dilihat sengit melibatkan pertembungan PN dan BN. PN mempunyai kelebihan untuk pengundi berumur 40 tahun ke bawah.



"Pengundi di atas 50 tahun masih tegar kepada BN. Namun dalam PRU 15 yang lepas walaupun sengit, BN, menang semua kawasan Felda berkenaan dengan penguasaan lebih 54% undi.



"Bagi kawasan DM Kampung Jawi-Jawi dan Simpang Pelangai, BN masih mendahului undi asas melebihi 51% hingga 71.6% undi," kata IDE lagi.



Masalah yang mungkin dihadapi, menurut instutut itu adalah faktor keluar mengundi rendah sebagaimana ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri Ogos lalu dan dua Pilihan Raya Kecil di Johor pada bulan September.



Bagi kebanyakan PRK, peratusan turun mengundi adalah sekitar 60% - 65%. Manakala pola taburan kaum di Dun Pelangai adalah 74.3% Melayu, 18.2% Cina dan 7.5% India.



Calon BN Datuk Amizar Abu Adam (BN) berdepan saingan tiga penjuru dengan menentang calon PN, Kasim Samat atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

 

No comments: