KAKI FITNAH - SILA HORMAT KEPUTUSAN MAHKAMAH DAN UMAT ISLAM





1. Saya mengikuti perkembangan Ustaz Dasuki Rani yang kalah saman beliau kepada saya dalam kes Aset TH dijual kepada bukan Islam. Beliau meneruskan fitnah ini walaupun setelah 2 Mahkamah iaitu Sesyen dan Tinggi telah memutuskan bahawa tiada aset TH dijual kepada bukan Islam. 


2. Beliau gagal menggunakan satu lagi ruang rayuan di Mahkamah Putrajaya apabila beliau menarik balik rayuannya pada 28 Ogos baru-baru ini. Sepatutnya ketidakpuasan hati beliau kepada keputusan 2 Mahkamah didengarkan dan dihujahkan ke hadapan Mahkamah Putrajaya yang akan diadili oleh 3 orang hakim. 


3. Malangnya, beliau tarik diri atas kerelaan sendiri tetapi memilih untuk meneruskan fitnah ke atas Tabung Haji di pentas politik dan di media sosial. Kebanyakan hujahnya telahpun didengari di bilik perbicaraan dan telahpun dijawab dan diperiksa balas kesemua jawapan oleh peguam beliau dan saya di hadapan Hakim. 


4. Tindakbalas beliau meneruskan siri fitnahnya ke atas TH dengan sentimen aset TH dijual kepada bukan Islam menimbulkan keresahan orang ramai. TH adalah instituisi mulia umat Islam yang telah menjadi bahan politik murahan beliau walaupun dibuktikan di Mahkamah bahawa fitnah beliau adalah tidak benar. 


5. Berhenti dari menjaja fitnah dan hormat sedikit keputusan Mahkamah yang kekal menolak saman Dasuki ke atas saya yang telah mempertahankan aset TH tidak dijual kepada bukan Islam. Hormatilah umat Islam dan para pendeposit daripada menjadi mangsa fitnah Dasuki. Apa motif beliau? Saya harap beliau noktahkan isu ini dan mari bersama membangunkan umat Islam menjauhi diri dari budaya fitnah. 


6. Peguam saya akan meneliti setiap kata-kata beliau setelah kalah saman dan akan bertindak dengan penuh amanah demi memelihara kemuliaan Tabung Haji. Sementara itu jauhi pemfitnah dan politik toksik kebencian yang diputarkan oleh pihak yang menyokong dan mempertahankan fitnah. Saya ingatkan kepada beliau dengan hadis Nabi s.a.w  dari Anas bin Malik : " Fitnah itu tidur, maka laknatlah mereka yang menggerakkanya" 


Sekian 


YB Senator Datuk Seri 

Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Dewan Negara

Naib Presiden Parti AMANAH Negara 


4 September 2023



No comments: