Kempen Pilihan Raya Kecil parlimen Pulai yang cuba dipanaskan menggunakan isu perkauman oleh PN tidak mengecualikan isu ekonomi, dan salah satunya ialah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang didakwa telah terbengkalai atau mesin vending menjual makanan 'kosong' pada ketika ini.
Dakwaan tersebut yang dipetik dari ceramah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dijawab oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu video pendek.
Menurut Rafizi, Mas Ermieyati sama ada tidak menyemak keadaan sebelum menggunakan isu berkenaan sebagai bahan ceramah atau pun beliau memang alergi terhadap makanan rakyat kelas bawahan tersebut.
Katanya, sewaktu beliau bergelar pembangkang dahulu polisi yang baik untuk membantu rakyat tidak pernah dikritik tetapi hanya menumpukan kepada skandal yang membazir dana awam.
"Tetapi bila kita ada pembangkang yang mereka kehabisan modal dan tidak ada tawaran yang berbeza kepada rakyat, apatah lagi semasa PN menjadi kerajaan 33 bulan kita tak nampak sebarang idea baru untuk menyelesaikan masalah utama orang Melayu, iaitu masalah kemiskinan.
"Bila mereka berceramah sesama mereka, mudah mereka menyatakan sesuatu kerana di depan itu (pendengar) cakap apa pun dia tepuk.
"Tetapi sebenarnya saya yakin orang ramai tahu program IPR yang kita laksanakan, misalnya INSAN, mesin vending ini sekarang hanya 2 - 3 kerat sahaja pembangkang yang buat bising kerana dari projek rintis terbukti ia berkesan untuk membantu (rakyat) kerana segala risiko itu (berniaga) ditanggung oleh kerajaan," katanya.
Jelas Rafizi, daripada data yang diterima kementeriannya, jualan melalui mesin layan diri di tempat tumpuan awam telah membenarkan peserta mendapat pendapatan minimum RM2,000 sebulan.
Malah katanya, terdapat peserta memperolehi RM4,000 - RM6,000 sebulan dan seorang mencecah RM10,000 sebulan.
"Pembangkang macam Ahli Parlimen Masjid Tanah ini bolehlah sembang ikut suka dia, saya tahu orang PN kalau ada peluang dia pun nak juga.
"Rakyat celik bahawa penggunan mesin ini memang dah ada di negara maju kerana ia lebih murah untuk jangka panjang dan lebih cepat disediakan berbanding kerajaan nak sediakan gerai atau kedai di tempat tumpuan awam yang menelan kos mahal serta ambik masa yang lama," katanya.
Oleh itu, Rafizi mengecam ahli politik yang tidak mempunyai idea tetapi masuk politik untuk mendapatkan gaji, kedudukan atau manfaat lainnya.
Apabila ingin mendapatkan sokongan, katanya, mereka menyerang lawan dengan fakta separuh masak atau fitnah semata mata.
Tegas Rafizi, pegawai pegawai beliau telah memantau rapi setiap skim IPR dan mendapati ianya memang tidak terbengkalai sebagaimana digambarkan.
"Saya dan pegawai di Kementerian Ekonomi memantau jumlah jualan. Jadi kita tahu siapa beriaga dengan baik atau tidak. Mereka yang malas (menambah stok) kita ada exit policy. Kalau mereka menerima kemudahan ini tetapi mereka jarang tambah stok makanan kita minta dia keluar.
"Selalunya kalau mesin kosong bukan sebab terbengkalai tetapi sebab habis, laku (laris) karana harga murah dan peniaga itu hanya perlu tambah 2 - 3 kali sehari untuk dapat RM2,000 sebulan.
"Sia sia Ahli Parlimen Masjid Tanah ini. Dia bersama Pas dan Pas selalu bersyarah ke orang perlu tabayyun, bersangka baik, tetapi sampai bab politik dia sebar sahaja (sangka buruk)," katanya lagi.