Kestabilan negara adalah kunci utama bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan membangunkan ekonomi negara, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Tambahnya, orang Melayu khususnya tidak seharusnya taksub dan
terbawa-bawa dengan politik sehingga menjadikan negara tidak stabil sehingga
menyebabkan ekonomi negara sukar dibangunkan.
"Negara kita kini berdepan kadar pengangguran tinggi dan
masalah ini tidak dapat diselesaikan jika masyarakat taksub berpolitik
sepanjang masa.
"Membangunkan ekonomi adalah antara fokus Kerajaan Perpaduan
ketika ini dan ia bukan mengambil masa pendek kerana untuk menyelesaikannya
memerlukan masa.
"Kita kena bina asas itu semula dengan syarat kestabilan
dapat dicapai," katanya dipetik ketika program ziarah kasih bersama
penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling di Johor Bahru.
Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai,
Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk
Pandak Ahmad.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut berkata, lazimnya
pada pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor ketika ini, orang
Melayu dimomokkan oleh parti politik yang bercerita seolah-olah hanya orang
Melayu tinggal di negara ini.
Namun jelasnya semua pihak wajar menyedari bahawa negara ini
terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang mempunyai peranan
masing-masing.
Sebagai rekod, muka depan semua akhbar terbitan NSTP semalam
melaporkan bahaya dihadapi negara dan rakyat pada masa depan susulan
eksploitasi isu agama serta kaum sudah keterlaluan dan melampau.
Malah, ia boleh dianggap 'menunggang' demi kepentingan politik
jangka pendek tanpa menghiraukan kesan buruk yang telah pun kelihatan.
"Masyarakat Melayu kena faham, pembangunan itu dituntut dalam
Islam. Jangan hanya pakai slogan membangun bersama Islam namun negeri ke
belakang.
"Usah jual agama kerana mahukan kerusi (politik). Jual agama
untuk kerusi tak boleh buktikan kredibiliti parti kita, malah hanya menghalang
pembangunan negara ke tahap seterusnya," tambah Johari.