KITA PATUT SIMPATI DENGAN ZAHID HAMIDI, DIA PUN SAMA TAK PUAS HATI…


Setelah berhari-hari isu DNAA yang diterima Ahmad Zahid Hamidi berkaitan salah guna dana Yayasan Akalbudi mencetuskan gelora dalam negara, yang lebih mencemaskan lagi kerana masih tidak ternampak ada tanda ia akan reda begitu saja dalam waktu terdekat ini.


Silap-silap, janganlah dijadikan bahan kempen PRK Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai, malah mungkin berpanjangan hingga PRU16 akan datang.


Semakin diberi penjelasan, termasuk oleh Anwar Ibrahim dan Pejabat Peguam Negara sendiri, nampaknya semakin dituntut penjelasan yang lebih tuntas lagi.


Ia berikutan kian ramai lagi bersuara dan menyatakan tidak puas hati dengan keputusan DNAA yang diberi mahkamah itu yang asasnya ia adalah berikutan pihak pendakwa sendiri yang memohon kes digugurkan dan Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan.


Selain Anwar yang paling banyak dikecam kerana dianggap sudah membuang perjuangan anti rasuahnya selama ini, sudah tentulah Zahid Hamidi sendiri turut sasaran yang sama hebatnya.


Dalam apa juga kes mahkamah, sesiapa pun yang dihadapkan kepada proses keadilan, keinginan paling utama ialah dibebaskan dan didapati tidak bersalah akhirnya.


Zahid Hamid tidak terkecuali dan beliau dalam hal ini boleh dikata sekadar memperjuangkan sesuatu yang normal bagi nasib dirinya.


Bagaimana dan apa cara memperolehinya, itu terserah kepada kebijaksanaan, kepandaian dan kemampuan seseorang dalam merebut peluang yang terhidang.


Lain orang lain cara, lain orang lain peluang yang boleh dimanfaatkannya.


Sebab itu, dalam kes Zahid Hamidi ini, walaupun beliau adalah Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, kita sepatutnya ada rasa simpati juga terhadapnya.


Usahlah terlalu disalahkan dirinya kerana tiada ada orang dengan senang hati dan lapang dada mahu masuk penjara begitu saja.


Jangankan orang kaya dan berkedudukan macam Zahid Hamidi, orang papa dan mereka yang hidup di bawah paras B40 pun tidak mahu masuk penjara.


Lagi pun, keputusan DNAA ini bukanlah sesuatu yang dikehendaki oleh Zahid Hamidi.


Beliau sebenarnya mahu diberi DNA iaitu dibebaskan sepenuhnya, bukan sekadar DNAA.


DNAA yang diberi kepada Zahid Hamidi sekarang masih terbuka untuk beliau dibawa semula ke mahkamah, jika ada bukti-bukti baru diperolehi.


Walaupun barangkali hampir mustahil untuk melihat beliau didakwa semula di bawah kerajaan perpaduan sedia ada dan di ketika jawatan Timbalan Perdana Menteri masih dipegangnya, tetapi kemungkinan di masa lain tidaklah tertutup sama sekali.


Mungkin jika kerajaan perpaduan ini tidak lama hayatnya atau kerajaan lain pula berkuasa selepas PRU16 akan datang, tidak mustahil kita akan melihat Zahid Hamidi didakwa semula.


Yang penting, selagi DNAA tidak berubah kepada DNA.


Menyedari dirinya masih belum selamat itu, jika kita perasan, hanya sehari selepas keputusan DNAA itu diberikan kepadanya, Zahid Hamidi segera mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.


Rayuan bertujuan agar beliau diberikan DNA iaitu bebas sepenuhnya.


Ertinya, jika ramai daripada kita tak setuju dan tidak puas hati dengan DNAA itu, Zahid Hamidi pun sama turut tidak setuju dan tak puas hati.


Zahid Hamidi hanya boleh akan setuju dan puas hati secara mutlak jika DNA penuh diberikan kepadanya.


Jadi, buat sementara ini, sebelum DNA itu diperolehinya, marilah kita terus bersimpati dengannya.


Zahid Hamidi hakikatnya belum lagi bebas sepenuhnya, sekadar dilepaskan saja, tapi kakinya masih ada “rantai” yang belum tertanggal lagi. – ShahbudinHusin 07/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/


No comments: