ASEAN perlu lantang dalam menyuarakan pendirian berhubung krisis di Myanmar, tegas Perdana Menteri dalam satu wawancara di Jakarta.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis di Myanmar bukan sahaja
mewujudkan situasi tidak stabil di rantau ini, malah turut memberi kesan
terhadap negara jirannya yang lain termasuk Malaysia.
"Negara anggota ASEAN perlu lebih tegas dan berani dalam
menyuarakan kedudukannya. Sebagai contoh, Malaysia perlu melindungi lebih
200,000 pelarian dari Myanmar dengan sebahagian besarnya adalah Rohingya.
"Semestinya rakyat Malaysia secara menyeluruh dan umat Islam
khususnya, berasa marah terhadap kekejaman ke atas kumpulan minoriti di
Myanmar.
"Justeru, kita perlu mempunyai pendirian jelas dan tegas
dalam menyokong pendirian ASEAN dalam mendesak Myanmar menangani perkara
ini," katanya dipetik akhbar The Jakarta Post sempena Sidang Kemuncak
ASEAN ke-43 .
Anwar berkata, Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini
berperanan penting dalam menyelesaikan krisis di Myanmar dan pada masa sama,
mengekalkan libat urus bersama pemegang taruh di negara berkenaan.
Bagaimanapun, junta mengambil sikap acuh tidak acuh dan tidak
menghiraukan Konsensus Lima Perkara ASEAN mengenai isu Myanmar yang kekal
menjadi batu penghalang bagi negara itu mencapai kestabilan.
"Mungkin buat pertama kali dalam sejarah ASEAN, saya kira
hampir 100 mesyuarat peringkat pegawai sudah diadakan (mengenai isu Myanmar).
"Malangnya, junta tentera tidak berminat, tidak banyak
perkembangan berlaku tetapi sekurang-kurangnya ASEAN telah mengambil langkah
positif dan proaktif untuk berbincang dengan pihak berkaitan, malah kita akan
terus berbuat demikian," katanya sambil berkata persepakatan dalam
kalangan negara anggota adalah kaedah paling berkesan menyelesaikan konflik di
negara itu.