CYBERTROOPER KERAJAAN LEMAH, PH/BN BAKAL PUNAH?


Dua hari lalu, tiga kejadian berlaku dalam hidup saya yang mana ianya terjadi tidak sampai dalam tempoh 8 jam pada hari tersebut.


Kejadian pertama, seorang tokoh media yang pernah bekerja dengan bekas Perdana Menteri menghantar pesanan Whatsapp yang menjangkakan bahawa PH/BN bakal punah dalam PRN akan datang ini.


Hujah beliau ialah cybertrooper PH/BN terlalu lemah dalam melakulan serangan dan menyerang balas pelbagai serangan bertubi-tubi yang dilakukan PN sejak kebelakangan ini.


Kejadian kedua, dua rakan yang selalu membaca tulisan saya di media sosial menghantar beberapa link yang memaparkan bagaimana cybertrooper PN sekarang ini begitu agresif dan deras menyerang kerajaan madani.


Sambil itu, kedua-duanya bertanya soalan yang hampir sama – kenapa cybertrooper PH/BN begitu lemah sekarang dan hampir tidak melakukan serangan balas terhadap serangan-serangan yang ditujukan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim?


Kejadian ketiga, secara kebetulan di hari yang sama juga saya terserempak dengan seorang pemimpin Bersatu dan kemudian kami sempat berbual-bual seketika.


Dalam perbualan singkat itu, pemimpin Bersatu berkenaan dengan yakin menyatakan PN mampu menguasai lima negeri pada PRN 12 Julai depan ini iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.


PH tambahnya, hanya dapat bertahan di Pulau Pinang saja, itu pun semua kawasan Melayu akan jatuh ke tangan PN.


Kata beliau lagi, selain sambutan hangat yang ditunjukkan pengundi melalui program-program yang diadakan di lima negeri berkenaan, keyakinan itu juga disebabkan hampir tiada serangan atau serangan balas yang benar-benar berkesan daripada PH kepada PN.


“Bahkan banyak serangan yang kami lakukan tidak mampu ditangkis atau diserang balik oleh cybertrooper PH.


“Apabila PRN kian dekat nanti dan kami akan meningkatkan lagi serangan, bila mana semua serangan itu tidak mampu ditangkis sebagaimana sekarang, bermakna akhirnya kamilah yang akan menguasai pemikiran pengundi dan mampu menentukan ke mana undi mereka,” tegasnya.


Jika saya seorang pemimpin PH yang berada dalam kerajaan, ketiga-tiga perkara di atas adalah sesuatu yang amat menakutkan sekali.


Secara mudah, ia adalah gambaran kejatuhan dan bakal kehilangan kuasa, walau kebenarannya belum tentu lagi seratus peratus.


Di sebalik banyak faktor boleh dihujahkan dalam menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan, namun dalam era digital di mana media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan alatnya pula terletak dalam genggaman, kepentingan cybertrooper atau laskar maya dalam mempengaruhi dan membentuk pemikiran pengundi memang tidak boleh dinafikan.


Lebih-lebih lagi kepada generasi muda, pengaruh media sosiallah yang banyak mempengaruhi pemikiran mereka.


Soal pokoknya, sebagaimana difokuskan dalam ketiga-tiga kejadian di atas, kenapakah PH yang kini dikira sudah bergabung dengan BN membentuk kerajaan, masih ketinggalan dalam perang di alam maya, sedangkan sebelum PRU15 lalu, mereka begitu dominan di hadapan?


Apabila ramai yang bertanya, kadangkala letih juga otak pro bono saya berfikir mencari jawapan mengapakah kedudukan PH sebagai kerajaan dan melalui kuasa yang ada dalam tangan, tetapi tidak mampu menjadikan laskar maya pro kerajaan lebih tangkas, bukan saja menyebar maklumat, tetapi juga melakukan serangan dan menyerang balas segala hentaman daripada blok pembangkang?


Di mana peranan Kementerian Komunikasi dan Digital, Unit Media dan Komunikasi PMO, Jkom serta semua pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan untuk sama-sama mengambil tanggungjawab bagi memperkasa dan menguasai perang di alam maya?


Masih belum berfungsi jugakah Unit Media Perpaduan, Media MyMadani dan entah apa-apa lagi kumpulan cybertrooper yang sudah diwujudkan sejak beberapa bulan lalu, malah khabarnya semua perkumpulan itu sudah pun mengadakan perjumpaan dan mesyuarat di beberapa lokasi?


Hendak tunggu apa lagi atau masing-masing menunggu “budget” turun dulu baru nak memulakan operasi?


Setelah lapan bulan menguasai kerajaan, di samping penguasaan media sosial dikira masih lemah dan ketinggalan, menjadi percakapan juga tentang peranan media arus perdana yang tidak membantu kerajaan.


Kalau ketika PH menjadi pembangkang dulu, kita sering marah dan meluat dengan media arus perdana yang begitu berkesan dalam peranannya mempromosi kerajaan dan menghentam lawan, malangnya sekarang ini tidak pernah sama sekali terdengar ada pemimpin PN yang bersungut dan mengeluh tentang laporan media arus perdana yang tidak memihak kepada mereka.


Sebaliknya, Fahmi Fadzil sendiri selaku Menteri Komunikasi dan Digital yang didapati lebih banyak memprotes laporan media arus perdana.


Kenapa sampai begitu sekali dan tidakkah sebagai kerajaan, kita sepatutnya ada cara untuk menangani semua itu?


Kepada semua yang ada kaitan dengan media dan komunikasi, janganlah sampai terlupa tarikh mengundi hanya kira-kira sebulan saja lagi atau mereka mahu PH/BN kalah dulu dalam PRN ini baru segala-galanya mahu dimulakan selepas itu? – ShahbudinHusin 12/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: