10% pengundi kembali, Kerajaan Perpaduan tawan Kedah - Mahfuz








 Pakatan Harapan (PH) dan BN Kedah yakin mampu menawan negeri tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.


Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dalam forum anjuran Media Perpaduan malam tadi.


Mahfuz juga mempertahankan kenyataan beliau bahawa Kerajaan Perpaduan ketika ini yakin mendapat 16 kerusi dan masih berusaha memperoleh 3 lagi kerusi bagi mencapai majoriti mudah membentuk kerajaan.


"Saya penuh yakin dengan kerjasama di Kedah ini, insyaAllah kita boleh menang. Biar pun (Menteri Besar) Sanusi ketawa bila saya kata akan menang 16 kerusi, dia kata (PN) akan menang 31.


"Saya bukan berangan, saya bercakap berasaskan keputusan pilihanraya baru baru ini. Saya cakap atas realistik. Dia bercakap bahasa bombastik.


"Saya bercakap berasaskan nombor ialah 16 kerusi. Kalau UMNO dan PH mampu bawa balik 10% pengundi yang lari dari kita pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kita akan mampu menang," kata Mahfuz dalam forum bertajuk "Menjelang PRN 2023: Kredibiliti atau Populariti?".


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menganggap tsunami hijau pada PRU 15 lalu yang mensisakan satu kerusi parlimen buat PH di Kedah telah reda dan pengundi muda khususnya ada yang telah kembali ke garis neutral serta boleh mengubah arah.


Beliau juga tidak melihat Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor sebagai faktor kekuatan Pas kerana MB itu tidak memiliki ciri pemimpin yang dikagumi semua pihak.


"Dari segi watak MB orang kata boleh terima (hebat). Saya akui kadang kadang orang Kedah ini ada loklaq sikit, tetapi untuk membina pemimpin, rakyat harus memahami yang kita mahu pemimpin bukan jaguh dalam berkata kata atau berani lawan dengan orang.


"Pemimpin ini mestilah berasaskan kelimuan, akal yang baik untuk berfikir memberikan idea membina negeri.


"Saya tidak melihat kayu ukur menunjukkan orang Kedah terlalu terpengaruh dengan apa yang dibawa oleh Sanusi


"Mungkin ada terperangkap dalam politik adu domba yang meggerunkan masyarakat waktu itu (PRU 15). Mungkin waktu itu PH pun menyerang BN dan PN menyerang BN.


"Jadi mungkin ada ahli UMNO dia tidak boleh nak berfikir. Akhirnya mereka pergi kepada PN. Ini saya lihat ia bersifat sementara dan lepas kita membentuk Kerajaan melalui naratif perpaduan, akhirnya orang celik mata," katanya.


Bagi pengundi muda kali pertama yang memberi pukulan maut kepada PH dan BN di Kedah November 2022 lalu, Mahfuz menganggap hal itu bukan lagi faktor kemenangan PN dalam PRN. Beliau tidak melihat kesemuanya pengundi itu akan melakukan hal yang sama apabila mengundi buat kali kedua pada Ogos ini.


"Saya tak nampak ia akan berkekalan seperti selalu dilaung laungkan Sanusi, lihat tsunami lalu. Tsunami pun bukan hari hari datang.


"Dalam politik tidak sama hal lalu dan hari ini. Hari ini anak muda mula berfikir kerana mereka bukan berpihak dan mereka boleh menilai.


"Mereka yang kali pertama mengundi pada November 2022 hari ini sudah ada penilaian (lain).


"Mereka juga telah melihat PN terpalit kes mahkamah dan Pas juga menggunakan wang untuk meraih undi (di parlimen Kuala Terengganu yang dibatalkan kemenangan)," katanya lagi.


Keyakinan Mahfuz itu, kata beliau, dibantu kerana kukuhnya hubungan antara PH dan BN di Kedah berbanding di negeri lain.


Menurut Mahfuz, Kerajaan Perpaduan di Kedah telah bermula awal, seawal Pilihan Raya Kecil parlimen Padang Serai beberapa minggu selepas PRU 14.


Kesepaduan, katanya terus dicapai dengan penganjuran konvensyen negeri dan gerak kerja bersama sehingga hari ini.


No comments: