Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali digesa untuk lebih sedar diri dan merasa malu atas kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata begitu sebagai mengulas hasrat Azmin untuk merampas negeri itu dari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan Ogos ini.
Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi malam tadi, Amirudin turut menyifatkan Azmin sebagai seorang yang tidak pernah ‘bertaubat’ meskipun kalah dengan sejumlah majoriti yang besar.
“Pembangkang hari ini berhasrat untuk merampas Selangor kerana mereka tahu negeri ini maju dan membangun.
“Yang berkata sedemikian adalah bekas Menteri Besar (Azmin) yang tidak sedar diri dan tidak pernah bertaubat walaupun kalah dengan majoriti 12,000 undi,” katanya.
Sementara itu, Amirudin beranggapan PN merasakan sangat penting untuk mereka merampas Selangor yang maju dan membangun dari sudut ekonomi itu bagi menamatkan rekod prestasi cemerlang ditunjukkan PH.
“Selangor sebelum ini menyumbang kepada 23 hingga 24 peratus ekonomi negara dan terbaru, 25.5 peratus atau satu perempat ekonomi negara berada di Selangor.
“Mereka cuba membuat pelbagai serangan untuk menutup mata dan membisukan kita daripada pencapaian yang sudah kita peroleh sejak 15 tahun lalu.
“Pemuda Pas kata kita perlu ikut Pas dalam mentadbir Kelantan, yang memberikan bas percuma untuk membawa balik pengundi, tetapi bas percuma ini sudah ada sejak 10 tahun di Selangor,” katanya.
Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan malam tadi disempurnakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta pimpinan dari kedua-dua gabungan.
Ribuan penyokong dan jentera dari kedua-dua gabungan membanjiri khemah sepanjang majlis berlangsung dengan bendera PH dan BN dikibarkan.
Selain mendengar ceramah penerangan, penyokong turut menyaksikan penyerahan bendera PH dan BN kepada pimpinan sebagai simbolik pelancaran itu.