Terengganu mengikut perangkaan terbaharu memiliki sekitar 10,000
isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar yang menyebabkan negeri itu berada
di tangga 5 terbawah sebagai negeri miskin di Malaysia.
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata
kategori miskin pula meliputi lebih banyak isi rumah dan hal itu tidak mampu
diselesaikan oleh pentadbiran Pas pada waktu ini.
"Kalau mengambil kira miskin di bawah pendapatan RM5,000 di
Terengganu kita ada 30,000 ke 40,000 isi rumah. Ini adalah tumpuan yang diberi
perhatian khusus oleh PMX yang berjanji dan berkomitmen bahawa sehingga 31
Disember tahun ini dia beriltizam untuk menghapuskan miskin tegar di negara ini
termasuk Terengganu. Sifar miskin tegar dalam Terengganu.
"Bermakna kita nak keluarkan kelompok isi rumah miskin tegar
ini, diusahakan supaya mereka tidak duduk dalam kategori itu lagi.
"Ini usaha yang mesti digembleng secara bersama. Sebab itu
dari segi urusan pentadbiran, urusan kewangan dan ekonomi kita kena ada
penyelarasan di peringkat negeri dan pusat. Kalau keadaan seperti sekarang,
dengan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pas maka kita tahu ada
banyak masalah yang mereka politikkan (tetapi tiada penyelesaian),"
katanya dalam satu siaran media.
Oleh itu, menurut mantan ADUN Bandar itu, rakyat Terengganu tiada
ada pilihan dalam Pilihan Raya Negeri bulan hadapan berhubung isu penyelesaian
masalah kemiskinan.
Katanya, hanya Kerajaan Negeri dari parti yang sama dengan
kerajaan pusat sahaja akan mampu menyelesaikan isu berkenaan dengan cekap lagi
berkesan.
"Kita tidak ada pilihan. Di Terengganu kalau kita bersimpati
atau kita beriltizam hapuskan miskin tegar, kita harus selaraskan pentadbiran
itu dengan baik. Barulah pentabiran berjalan lancar dan tidak ada unsur unsur
mempolitikan isu.
"Kita perlu lepaskan isi rumah miskin di Terengganu ini, cari
jalan dan itu adalah tugas kita yang perlu ditunaikan," katanya lagi.