UNTUK LEBIH RELEVAN KHAIRY TAK SERTAI MANA MANA PARTI POLITIK

 

Untuk terus berjaya dan mengembangkan kariernya, KJ harus ada keberanian seperti Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin yang tidak lagi berharap kepada UMNO setelah meninggalkan parti tersebut….

 

KEKAL TANPA PARTI, WALAUPUN SOKONG PN TAK AKAN BAWA KJ KE MANA-MANA 

 

Walaupun belum rasmi dan tidak sahih lagi kebenarannya, Khairy Jamaluddin yang semalam bertemu Mahiaddin Md Yasin dilaporkan akan kekal dengan pendirian tidak mahu menyertai mana-mana parti buat ketika ini.

 

Pun begitu, beliau dikatakan memberi komitmen kepada Mahiaddin untuk membantu PN dalam kempen PRN di enam negeri akan datang ini.

 

Pendirian itu difahamkan dimaklumkannya dalam pertemuan mereka semalam dan Mahiaddin diberitakan memahami serta menerima dengan baik pendirian bekas Menteri Kesihatan yang dipecat daripada UMNO itu.

 

Laporan mengenai pendirian KJ itu ada di sini – https://m.malaysiakini.com/news/669308

 

Dengan pendirian tersebut juga bermakna KJ tidak sedia untuk bertanding dalam PRN yang dijangka akhir Julai atau awal Ogos depan ini.

 

Walaupun merupakan hak KJ untuk membuat apa juga pilihan yang dirasakan terbaik buat dirinya, tetapi memilih tidak menyertai mana-mana parti bukanlah pilihan yang tepat buat beliau.

 

Untuk terus maju ke depan, KJ harus berani membuat pilihan dan seterusnya komited dengan pilihannya itu.

 

Lebih tidak tepat lagi pilihannya itu, jika ianya benar, ialah mahu berkempen membantu PN dalam PRN akan datang nanti.

 

Sekiranya PN menang dalam PRN nanti, di mana beliau mahu diletakkan susulan keputusannya tidak menyertai mana-mana parti dan tidak bertanding itu?

 

Sudah tentu hanya ahli parti dan mereka yang bertanding saja akan berolehi jawatan atau kedudukan setelah kemenangan dalam PRN diperolehi.

 

Lebih buruk lagi jika sekiranya PN kalah, terutama di Selangor misalnya, kehadiran KJ dalam kempen akan dianggap tidak bernilai dan tidak mampu mencetuskan gelombang ke arah kemenangan.

 

Beliau nantinya pasti akan dianggap tidak penting dan tiada harga di mata pengundi.

 

Dalam politik, memilih wadah perjuangan atau parti adalah penting dan boleh dikira syarat utama untuk berjaya.

 

Tanpa parti, sekadar popular begitu saja bolehlah, tetapi populariti itu tidak mampu membaww ke mana-mana.

 

Sebagaimana beliau tiada parti selepas dipecat daripada UMNO dan dirinya tidak pun ke mana-mana, keadaan KJ tidak akan berubah jika beliau tiada keberanian membuat pilihan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru.

 

Kalau keengganannya menyertai mana-mana parti kerana berharap mahu kembali semula ke dalam UMNO suatu hari nanti, ia boleh dikata mimpi di siang hari saja selagi Zahid Hamidi mengetuai parti tersebut.

 

Demi survivalnya, Zahid Hamidi tidak akan membenarkan sesiapa mengancam kedudukannya sebagaimana beliau membuang semua pengancamnya menjelang pemilihan UMNO sebelum ini.

 

Oleh itu, adalah membuang masa jika KJ terus berharap kepada UMNO untuk terus mengembangkan karier politiknya.

 

Senang cerita, anggap saja masa depannya bersama UMNO sudah berakhir.

 

KJ mesti ada keberanian seperti Anwar Ibrahim dan Mahiaddin yang tidak berharap kepada UMNO selepas dipecat, sebaliknya menggunakan wadah atau parti baru sebagai “vehicle” untuk terus berjuang dan mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri.

 

Lagi pula, walaupun tidak menyertai mana-mana parti tetapi berkempen untuk PN dalam PRN akan datang ini sebagaimana itu yang dikhabarkan sebagai pendiriannya, ini akan menjadikan tiada parti lain lagi, khususnya UMNO, mahu memandang kepadanya selepas ini.

 

Jangan sampai sudah tiada harga lagi nanti baru sibuk hendak mencari parti untuk disertai. – ShahbudinHusin 21/06/2023.

 

https://shahbudindotcom.net/