PH boleh perkenal bantuan bulanan B40 jika menang
Pakatan Harapan (PH) sekiranya dipilih untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sedia untuk mengkaji pakej bantuan bulanan kepada golongan B40 di negara ini.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, William Leong Jee Keen, pakej tersebut secara langsung juga akan turut membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk bertahan dalam suasana ekonomi yang muram tahun hadapan.
“Kita ada 1.2 juta IKS. 50% tenaga kerja bekerja untuk IKS. Kita juga ada 2.8 juta rakyat Malaysia yang kerja dengan pendapatan harian. 80% penduduk pula tidak ada simpanan lebih daripada dua bulan. Mereka dalam keadaan susah.
“Kita boleh wujudkan pakej bantuan RM50 bilion diberikan kepada B40. Setiap isi rumah dapat RM1,000 sebulan
“Mereka akan menggunakan pendapatan ini untuk memberi keperluan harian. Kalau kita beri wang ini kepada top 20 (golongan kaya) mereka akan simpan. Tetapi B40 akan beli keperluan harian dari IKS dan dengan cara ini IKS akan dapat pendapatan lebih.
“Kita selamatkan IKS dengan beri bantuan kepada B40. Ini cara kita selesai masalah kemelesetan ekonomi. Ini BN – PN tidak boleh buat,” katanya.
Seandainya tidak dan rakyat tetap memilih kerajaan BN – PN maka, kata calon Ahli Parlimen Selayang itu, rakyat akan ditadbir semual oleh kerajaan huru hara sekarang ini. Malah kegagalan BN – PN, katanya amat buruk sehingga tidak akan mampu mengawal bekalan telur ayam sekali pun.
“Kita sudah tidak puas hati dengan prestasi kerajaan Ismail Sabri. Harga ayam naik. Ada duit beli telur pun tak boleh beli. Ini pentadbiran yang gagal
“Kalau tidak puas hati apa pilihan lain? Hanya ada satu sahaja Datuk Seri Anwar. Bukan kita mahu di jadi PM saja, kita hendak reformasi untuk menyelesaikan krisis ekonomi, krisis kesihatan dan krisis politik yang tidak stabil,” katanya lagi.