Lawan Zahid, KJ tiada masa depan dalam Umno, kata pemimpin Amanah.
PETALING JAYA: Pemimpin Amanah percaya calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, hanya membuat “gimik politik” ketika berkempen kerana kedudukannya dalam Umno sendiri tidak terjamin susulan bertelagah dengan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy yang juga menteri kesihatan sebelum ini mewar-warkan dirinya mahu menjadi perdana menteri, selain yakin dilantik semula dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, sekiranya menang di kerusi itu.
Pengarah Strategi Amanah Dzulkefly Ahmad, berkata andai BN menang sekalipun dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tiada jaminan Khairy akan mendapat sebarang jawatan dalam barisan Kabinet diketuai Umno.
“Kalau BN menang PRU15 dan Khairy juga menang di sini (Sungai Buloh), tiada jaminan untuk dia dapat apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana dia bercanggah dengan presiden Umno (Zahid).
“Rakyat Sungai Buloh jangan tertipu dengan gimik politik, kalau difikirkan…tiada jaminan untuk Khairy menang di sini, jadi kenapa dia dihantar oleh presiden Umno ke kerusi selamat PH? Kalau menang pun dia hanya jadi Ahli Parlimen biasa.
“Khairy juga tidak usahlah bermimpi di siang hari dan memberi bayangan itu dan ini kerana tempatnya juga tiada jaminan dalam Umno,” lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, Khairy menyatakan hasrat mahu memimpin Umno dan menjadi perdana menteri satu hari nanti, namun ia bukanlah selepas PRU15 jika BN mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan.
“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107. Satu hari nanti kita akan pimpin Malaysia, Insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan parti satu hari nanti saya hendak ketuai Umno dan menjadi perdana menteri dan saya kena menang di sini.
“Ini kali pertama saya kata begini tetapi bukanlah sekarang kerana jika kita menang kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri Malaysia, saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi tapi jangan lama sangat,” katanya.