HELLO LEBAI - DAH TAK ADA IDEA UNTU BANTU RAKYAT KAH ?

 

Manifesto PN benar pengeluaran KWSP lagi dibidas ahli ekonomi.



Setakat ini, kira-kira RM145 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum KWSP, menurut penyandang timbalan menteri kewangan Shahar Abdullah.

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dikritik atas janjinya membenarkan pengeluaran bersasar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika menang pada pilihan raya.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia menyifatkan ia sebagai idea “kurang cerdik yang berisiko” dan bersifat “populis”, manakala Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, ia “tidak realistik” dan “tidak diingini”.

Williams, seorang ahli ekonomi berkata, walaupun ia boleh memberi manfaat kepada pencarum KWSP bukan bumiputera yang kaya, ia akan mengakibatkan kemusnahan ekonomi dan sosial bagi golongan lain.

Jika dilihat dari segi angka sahaja, keadaan sudah kelihatan teruk terutamanya bagi kaum bumiputera.

“Sebanyak 81% daripada pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 ialah daripada kalangan bumiputera,” kata Williams kepada FMT Business.

Malah, separuh daripada semua pencarum bumiputera mempunyai kurang daripada RM7,385 dalam simpanan setiap seorang, yang perlu menampung kehidupan mereka dalam tempoh dua dekad akan datang, mengambil kira purata jangka hayat.

Bagi kumpulan B40 pula, separuh daripada mereka mempunyai kurang daripada RM920 setiap seorang dalam simpanan (KWSP), kata Williams.

“Majoriti dalam kumpulan B40 dan M40 mempunyai simpanan KWSP yang begitu sedikit sehinggakan mereka (dijangka) akan hidup kedana pada hari tua,” katanya.

“Mereka hampir tiada lagi simpanan untuk dikeluarkan. Ini tidak akan menguntungkan pengundi PN dan PAS.”

PN ialah gabungan yang terdiri daripada parti Melayu Islam Bersatu dan PAS, selain Gerakan, STAR dan Parti Progresif Sabah yang berbilang kaum dan agama.

Pada 6 Nov, ketika melancarkan manifesto gabungannya untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pengeluaran bersasar daripada KWSP mungkin akan dibenarkan jika ia menang pada pilihan raya.

Yeah, juga seorang ahli ekonomi, berkata PN perlu melihat semula cadangan itu memandangkan simpanan sudah berada pada tahap yang rendah akibat pengeluaran yang dibenarkan semasa wabak Covid-19.

Jika ia menjadi kenyataan, ia akan menjadi pengeluaran keempat daripada dana persaraan tersebut sejak wabak Covid-19 bermula pada Mac 2020. Muhyiddin ialah perdana menteri ketika pengeluaran kali pertama dibenarkan.

Penyandang timbalan menteri kewangan Shahar Abdullah berkata, kira-kira RM145 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum KWSP setakat ini.

Simpanan kini berada pada tahap “sangat rendah”, katanya di Dewan Rakyat pada Ogos.

Yeah berkata, strategi yang sesuai adalah mencari cara untuk meningkatkan simpanan rakyat bagi membina semula perlindungan sosial, terutamanya bagi mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah yang hampir bersara.

“Ekonomi sudah dalam mod pemulihan, kadar pengangguran menurun manakala pendapatan meningkat,” katanya kepada FMT Business.

“Oleh itu, cabarannya sekarang adalah untuk mencari cara menggalakkan rakyat menabung untuk kecemasan dan persaraan.”

Beliau berkata, ini boleh dilakukan dengan menaikkan umur persaraan daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Katanya, kerajaan juga boleh membantu dengan mencari jalan untuk rakyat menambah pendapatan supaya mereka dapat menyimpan lebih banyak.

Selasa lepas, Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa terdapat 605,000 orang penganggur di negara ini pada September, turun daripada 612,000 pada bulan sebelumnya, menjadikannya bulan ke-14 mencatatkan penurunan berturut-turut.

Yeah menambah, kerajaan juga boleh memberikan sokongan pelengkap dengan menyumbang, contohnya, 50 sen bagi setiap ringgit yang disimpan oleh rakyat.

No comments: