BERBANDING PAS, BN LEBIH LAYAK DIKEKALKAN MENTADBIR PAHANG – TENGKU AZLAN- ATAU BERILAH PELUANG PH MENTADBIR

 


Sasaran yang turut menjadi keutamaan Pas dalam PRU15 kali ini ialah untuk mencapai matlamat buat kali pertama dapat menawan negeri Pahang daripada BN.

Bagi tujuan itu, Pas telah menamakan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air sebagai calon Menteri Besar jika mereka berjaya menawan negeri tersebut.

Beliau akan bertanding di Dun Cheka dalam bahagian Lipis bagi memenuhi cita-cita itu.

Dengan meletakkan pemimpin nombor dua parti itu, Tuan Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Pahang, ia adalah tanda keseriusan Pas yang tidak disangsikan lagi dalam memburu hasrat tersebut.

Namun demikian, bagi bekas Ahli Parlimen Jerantut dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, dalam konteks negeri Pahang, pemerintahan BN wajar dikekalkan lagi berbanding membuat pertukaran kepada parti lain.

Kata beliau, BN pimpinan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam mentadbir negeri sejak lima tahun lalu.

“Beliau seorang yang tidak terlalu berpolitik, sebaliknya menumpukan banyak usaha dan perhatiannya untuk membangunkan negeri dan memajukan sektor ekonomi,” ujar beliau.

Untuk itu, jelasnya, hasil pendapatan negeri telah bertambah setiap tahun dengan RM847 juta pada 2019, RM850 juta pada 2020, RM866 juta pada 2021 dan RM1.037 bilion pada tahun 2022.

Bagi kemasukan pelaburan asing ke Pahang pula, tambah Tengku Azlan, ia turut meningkat dengan RM6.7 bilion pada 2020, RM10.5 bilion pada 2021 dan RM20.5 bilion pada 2022.

“Di waktu yang sama, Ease of Doing Business Index telah meletakkan negeri Pahang sebagai antara negeri terbaik dari segi penawaran fasiliti dan pemudahcara pelabur bagi tahun 2022,” katanya lagi.

Selain itu, menurut Tengku Azlan lagi, dalam tempoh empat tahun lalu, kerajaan negeri Pahang yang dipimpin oleh Wan Rosdy juga berjaya mengurangkan hutangnya daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta.

“Tidakkah semua itu pencapaian yang membanggakan?”, tambahnya.

Seterusnya, menurut beliau, hasil negeri turut berjaya ditambah dengan keputusan menyemak semula cukai tanah dan balak yang tidak pernah dinaikkan sejak lebih 31 tahun yang lalu.

“Semua yang dilakukan beliau itu telah berjaya menambahkan kantung kewangan kerajaan negeri.

“Sebab itu, penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang dan Program Kebanggaan Pahang dapat diberi dalam kadar yang stabil iaitu RM31.3 juta bagi tahun 2021 dan RM29.91 juta bagi tahun 2022,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tengku Azlan penuh yakin, pentadbiran BN di Pahang sedang berada di landasan yang betul untuk melakukan yang lebih baik lagi bagi tahun-tahun mendatang jika terus diberi peluang.

“Sebaliknya jika bertukar kerajaan negeri, semua itu akan tergendala, bahkan pentadbiran baru nanti tentu saja memerlukan masa untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan selok belok yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.

“Akhirnya yang akan rugi ialah rakyat itu sendiri,” katanya sambil berharap rakyat Pahang menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan mereka di hari mengundi pada 19 November nanti. – ShahbudinHusin 15/11/2022.



No comments: