Kempen ‘Jangan Undi Zahid’ dilancar, kumpulan dakwa Zahid punca negara tak stabil


 

Sekumpulan aktivis politik hari ini melancarkan gerakan merayu kepada pengundi di Bagan Datuk supaya tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Gerakan tersebut dilancarkan oleh beberapa individu yang menjadi mangsa politik Zahid dengan tema ‘Jangan Undi Zahid’ dan mendakwa negara terus tidak akan stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selagi beliau memimpin parti UMNO.

“Satu gerakan telah dibentuk merentasi parti, kaum, agama dan ideologi bagi memastikan pengundi pengundi P075 tidak mengundi Zahid Hamidi,” kata kenyataan media tersebut yang dikeluarkan semasa sidang media di ibu kota hari ini.

Kumpulan tersebut mengariskan tujuh punca utama mengapa Zahid perlu dikalahkan di Bagan Datuk pada PRU-15, antaranya:

1. Punca masalah dan ketidakstabilan dalam negara
2. Punca kerajaan tidak stabil sejak Julai 2020
3. Punca rakyat terpaksa mengundi semasa Covid-19 di Melaka dan Johor
4. Punca rakyat terpaksa mengundi semasa musim hujan dan kemungkinan semasa banjir
5. Punca rakyat yang telah membuat perancangan bercuti dan umrah tidak dapat mengundi
6. Punca kegagalan usaha Penyatuan Ummah
7. Punca UMNO tidak stabil dan berpecah belah sejak Julai 2020

Menurut kumpulan tersebut, tidak mustahil Zahid akan dapat dikalahkan di kubu kuatnya tersebut memandangkan pertambahan pengundi baharu pada PRU-15 kali ini, malah deposit tetap daripada undi tentera juga didakwa sudah tidak memihak kepadanya lagi.

“Rakyat boleh kalahkan Zahid di tempat dia, dulu dia menang cuma majoriti 5,000 undi dan 2,000 undi tentera sudah tidak bersama Zahid.

“Pengundi baru, pengundi muda sekitar 10,000. Majoriti pengundi muda pasti tidak mahu Zahid dan tidak mahu undi pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kumpulan tersebut itu lagi, Zahid merupakan liabiliti kepada UMNO dan menggesa supaya ahli-ahli parti yang tidak mahu melihat perpecahan dalaman lebih buruk supaya menolaknya pada hari PRU-15, 19 November ini.

“Bagi ahli-ahli UMNO yang rasa Zahid ini tak sepatutnya bertanding, yang rasa zahid adalah liabiliti kepada UMNO dan BN, yang benci tindakan Zahid menyokong Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, benci usaha zahid wujudkan Jajaran Baru, benci tindakan zahid memecah belahkan UMNO dan merosakkan UMNO – pujuk pengundi2 UMNO di Bagan Datuk, jangan undi Zahid.

“Gerakan Jangan Undi Zahid ialah gerakan rakyat. Berdasarkan data, saya yakin Rakyat Malaysia akan menang dalam pertandingan melawan Zahid ini,” kata kumpulan itu lagi.

Kumpulan tersebut digerakkan oleh dua aktiviti politik terkenal iaitu, Badrul Hisham Shaharin dan juga bekas ahli UMNO Datuk Zaharin Mohd Yasin yang dipecat Zahid sebelum ini.

 

No comments: