Anwar gesa audit forensik 3 organisasi berkait MIC
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa audit forensik dilakukan terhadap tiga organisasi berkaitan MIC yang didakwa menyalah guna dana kerajaan untuk membantu masyarakat India.
Tiga organisasi itu adalah Maika Holdings, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).
“Audit forensik terhadap entiti ini harus dilakukan dan jika perlu buat inkuiri awam,” katanya selepas menghadiri program bersama masyarakat India.
Anwar yang juga presiden PKR berkata, kaum India sejak sekian lama dipinggirkan di sebalik pelbagai dana disalurkan kerajaan menerusi tiga entiti berkenaan.
“Mereka mengeluh hidup dalam kemiskinan dan akses terhad kepada pendidikan.
“(Masalahnya) Peruntukan yang diberikan kepada mereka tidak diurus dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa, berkata individu didapati terbabit dalam salah guna dana berkenaan harus didakwa.
Beliau bagaimanapun kurang yakin kerajaan akan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti punca dan individu bertanggungjawab terhadap penyelewengan itu.
Menurutnya, audit forensik hanya akan dilaksanakan oleh Anwar jika pembangkang membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.