nordptsoSe13612t 83fmr5Y0aaui3aghu f660teceui3a1tdy080s:9110 ·
Bebaskan Negara Dari ‘Hantu’ Penjajah
1. Seperti yang pernah saya kongsikan dahulu, antara punca
kebanggaan saya terhadap filem Mat Kilau adalah kerana dia berani menonjolkan
British sebagai penjajah yang rakus dan ganas. Dalam banyak filem lain, yang
digambarkan sebagai penjajah mungkin hanya Jepun dan komunis. Ini adalah
langkah menongkah arus yang berani dilakukan oleh penerbit.
2. Dua hari lepas, 8 September Queen Elizabeth II meninggal
dunia setelah duduk di takhta selama 70 tahun. Beliau adalah Queen of United
Kingdom sejak 1952, ketika Tanah Melayu masih lagi dijajah British. Sebahagian
rakyat Malaysia dikelirukan lagi antara keperluan menyatakan simpati dan
bersedih, atau teruskan hidup seperti biasa sahaja.
3. Penjajah adalah penjajah samada secara langsung atau tidak
langsung. Mereka datang menyusahkan negara. Mereka membunuh. Mereka menjarah
hasil bumi dengan cara paksa. Mereka mengubah budaya dan segala yang mereka
boleh ubah. Mereka menghilangkan jati diri kita. Kerana itu bila mereka keluar
dari negara kita, kita gembira. Kita laungkan ‘merdeka’ beberapa kali sebagai
tanda kegembiraan yang tidak berbelah bagi.
4. Tapi rupanya masih ada ‘pemuja’ British di kalangan anak
bangsa kita. Cadangan kibaran bendera separuh tiang, ucapan terima kasih kerana
Queen Elizabeth II ‘berkenan’ mengurniakan kemerdekaan, marah netizen
memanggilnya ‘beliau’ …. semua itu adalah tindakan-tindakan pelik yang
menunjukkan kekaguman melampau terhadap British.
5. Ketika British datang ke Tanah Melayu dan negara Islam lain
di Afrika, Tanah Arab, mereka dalam keadaan miskin. Negara mereka tiada sumber.
Mereka hidup sederhaana sahaja tidak seperti sekarang. Kekayaan negara mereka
datang melalui penjajahan. Dan dengan berpindahnya kekayaan itu, negara Islam
pula bertukar menjadi miskin dan mundur.
6. Mereka menjadikan tanah kita sebagai ladang mereka. Mereka
tanam dengan tanaman yang menguntungkan pasaran mereka dan bukannya dengan
tanaman yang menjadi keperluan penduduk tempatan. Mereka tanam getah di Tanah
Melayu dan mereka jual di Eropah. Orang Melayu tidak dapat untung apa pun dari
getah kecuali sekadar upah menoreh. Begitulah juga dengan koko dan lain-lain.
Akhirnya tanah untuk tanaman keperluan penduduk tempatan berkurangan dan tidak
cukup.
7. Mereka mengaut galian yang berharga dengan cara merampas
lombong penduduk tempatan. Bijih timah, emas dan selainnya pernah menjadi
tempat pertumpahan darah yang sengit antara orang Melayu dan British yang
berpermaisurikan Queen Elizebeth II dan keluarganya.
8. Tanah Melayu mungkin bernasib baik kerana British tidak dapat
menjual manusia. Tidak seperti di Afrika Tengah, di mana mereka menangkap
budak-budak Islam dan menjualnya melalui syarikat-syarikat mereka. Perniagaan
menjual manusia dilakukan secara terang-terangan selama tempoh lebih dari 100
tahun. Cara fikir gila dalam mengaut keuntungan untuk kemajuan negara.
9. Mereka kukuhkan penguasaan mereka dengan penubuhan syarikat
seperti Syarikat Hindia Timur Inggeris. Mengumpulkan modal lalu menubuhkan
bank-bank antarabangsa. Membuat sistem perdagangan yang mengikat negara-negara
umat Islam. Memerangkap umat Islam dengan cara halus di dalam urusniaga
perdagangan yang berat sebelah dan tidak memberi ruang kepada umat Islam untuk
menguasai semula perdagangan.
10. Dan banyak lagi kerosakan lain yang dilakukan oleh British
terhadap negara dan rakyat kita. Boleh senaraikan dalam satu senarai yang
panjang samada dalam bidang undang-undang, atau pendidikan, atau budaya dan
lain-lain.
11. Jika ada sesuatu yang kita belajar dari British, pelajaran
itu adalah semangat jihad dan melawan penjajah. Itulah sahaja yang kita
pelajari selama ini. Hargailah pelajaran itu kerana ia adalah pelajaran yang
mahal dan kita akan sentiasa perlukannya dalam hidup kita.
Wallahu a’lam.