Siapa Pemimpin Pas Kelantan Di Belakang
Balak Tebang Habis dan Beri Milik Hutan Simpan?
1. Asik-asyik salahkan Husam. Kononnya Husam mulakan. Kononnya
di zaman Husam pun perkara ini berlaku.
Susah sangat kah untuk menentukan siapakah yg sebenarnya yg
bertanggung jawab dengan dasar balak tebang habis dan beri milik tanah dalam
Hutan Simpan di Kelantan?
2. Senang sekali.
Buka semula semua minit mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan
Negeri Kelantan.
Tengok tarikh mula amalan ini.
Tengok siapa ahli Jawatankuasa terlibat dari mula sampai
sekarang.
Tengok jumlah keluasan ikut tahun sampai sekarang.
Beranikah penyokong tegar Pas yg masih nak kambing hitamkan saya
buat cabaran atau cadangan ini kepada Kerajaan Pas yg ada sekarang?
3. Lihat semula garis masa saya dalam Kerajaan Kelantan.
a. Ketika saya menjadi Ahli Parlimen di antara 1999 - 2004, Dato
Takiyudin dan Allahyarham Dato Mohd Daud Iraqi sudah berada dalam Jawatankuasa
Kecil Perhutanan pada masa itu.
Atas kapasiti mereka sebagai Exco. Saya tak ada kerana saya di
Parlimen.
b. Ketika saya menjadi Exco dan dipaksa menerima keahlian dalam
Jawatankuasa Kecil Perhutanan di antara tahun 2004 sampai 2013, Dato Takiyudin,
Dato Mohd Amar dan Dato Anuar Tan adalah turut menjadi anggota.
Dalam tempoh ini ada 'pergelutan'' atas dasar dan kelulusan
sebegini.
Ada kalanya mesyuarat yang dijadualkan ditangguhkan oleh Tok
Guru selaku MB atas bantahan saya adanya agenda ladang dalam Hutan Simpan
dimasukkan semula selepas sebelumnya telah dibekukan.
Ada kalanya dibekukan, kemudian dihidupkan balik.
Ada kalanya ditubuhkan jawatankuasa kecil di dalam jawatankuasa
kecil dengan tujuan asalnya mengurangkan kelulusan sehabis kurang tetapi
akhirnya tak berkesan.
Menjelang akhir 2012, atas desakan sesetengah pihak, se orang
anggota tambahan dimasukkan iaitu Dato Hanifa Ahmad.
Ini bagi menukar imbangan sebelumnya di mana Tok Guru banyak
berkecuali sementara saya dan Dato Anuar Tan pada masa itu banyak membantah
kelulusan ini.
Jadi seri. Saya bersama Dato Anuar Tan menolak sementara Dato
Takiyudin dan Dato Mohd Amar menyokong kelulusan.
Bila Dato Hanifa Ahmad mula-mula masuk mesyuarat yg pertama, se
ingat saya lebih dari 100 kelulusan diberikan.
Korum menyokong menjadi tiga dan yg menentang tinggal dua.
Sejak itu, kalau tak silap ingatan saya, saya tidak lagi
menghadhiri mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan sehingga Dun dibubarkan
pada 2013.
c. Saya dah tak jadi Exco dan anggota Jawatankuasa Kecil
Perhutanan Kelantan dah masuk sembilan tahun.
Kenapakah kelulusan seperti ini semakin rancak kalau dikatakan
saya adalah di belakang kelulusan seperti itu?
Fakta seperti ini pun para pentaksub Pas tak boleh fikirkan?
4. Saya telah menjadi mangsa keadaan atau menerima 'collateral
damage'.
Orang lain makan nangka sejak dulu sehingga sekarang, tapi getah
dilekatkan pada saya.
InsyaAllah saya konsisten menolak amalan ini dulu, sekarang dan
akan datang.
Ia satu polisi paling buruk bagi Negeri Kelantan dan Negara atas
banyak pertimbangan.
Ia memberi peluang manipulasi yang sangat luas :
- hutan banyak balak dikelaskan kononnya miskin atau tak ada
kayu.
- kawasan gagal dijadikan ladang yang diluluskan sebelumnya
digunakan pula untuk meluluskan kawasan balak baru dalam Hutan Simpan Kekal.
Kawasan dulu dah gondol kawasan baru pula jadi ratahan. Memungkin akhirnya
seluruh Hutan Simpan akan binasa
- tidak ada tender terbuka dilakukan
- banyak keadaan orang yg sama dapat berulang kali
- kroni mendapat kesempatan
- Kerajaan rugi. Hutan musnah
- tidak nampak adanya pengakhiran kepada penjarahan ini kerana
banyak pihak telah ketagih
Fikir sendiri implikasi dasar ini. Fikir baik buruknya pada
Rakyat dan Negeri.
Sekalipun kalau Husam terlibat sekali, jangan peduli pada Husam.
Peduli pada baik buruk dasar tebang habis balak begitu luas dan
beri hak milik tanah dalam Hutan Simpan.
Sehingga seluruh good governance perhutanan negara menjadi
binasa buat selama-lamanya.
5. Salah satu Piagam Save Kelantan yang akan dicadangkan ialah untuk
menghentikan serta merta kelulusan tebang habis dalam Hutan Simpan Kekal -
sekiranya Kerajaan Pas Kelantan sekarang dapat diganti.
(Sesiapa yang terlepas rakaman wawancara saya dengan sebuah
portal berita mengenai tajuk ini boleh menontonnya semula di pautan
https://youtu.be/PyplEFLCr9o )
Husam Musa
27 Julai 2022
27 Dzulhijjah 1443H