Lanjut Sosma, Pas peralat Islam untuk kuasa?
Tindakan Ahli ahli Parlimen Pas yang menyokong untuk melanjutkan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA di Dewan Rakyat yang membenarkan penahanan 28 hari tanpa bicara menzahirkan sikap parti itu yang memperalat Islam untuk berkuasa.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi KEADILAN Cabang Kemaman, Terengganu, Islam sesungguhnya tidak membenarkan penahanan dilakukan secara tanpa sebab, atas syak wasangka atau tanpa dibicarakan.
Malah kata kenyataan itu, Pas ketika bersama pembangkang dahulu pun menentang akta drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara.
“Pas sekarang telah lari dari perjuangan asal mereka, Pas dikuasai oleh golongan yang rakus kuasa serta kedudukan sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan yang diperjuangkan sebelum ini.
“SOSMA adalah lanjutan daripada akta zalim ISA yang dimansuhkan sejak 2012. Perjuangan menentang akta zalim ISA telah dilakukan sejak sekian lama daripada tokoh pejuang KEADILAN dahulu juga dalam kalangan Pas.
“Tindakan ini memberi isyarat kepada rakyat supaya menghumban Pas dan juga golongan yang rakus memperalatkan Islam untuk dapatkan kuasa,” kata kenyataan itu.
Tegas KEADILAN Kemaman, rakyat perlu menentukan sikap dalam pilihan raya akan datang dengan menolak sesiapa jua yang cenderung kepada kezaliman atau tergelincir daripada ajaran Islam sebenar.
“Rakyat wajib menghapuskan golongan yang bersekongkol dengan pengkhianatan, rakus kuasa atau penunggang agama pada Pilihan Raya Umum ke 15 ini.
“Rakyat tidak akan sesekali reda dengan kebrobokan yang berlaku dan rakyat wajib bangkit menentang segala bentuk kezaliman yang berlaku,” kata kenyataan itu lagi.