16 September gagal kerana PM enggan usul Unti Tak Percaya
Peristiwa 16 September yang telah menjadi momokan sejak lebih sedekad lalu kerana pihak pembangkang gagal menunjukkan majoriti yang dimiliki bagi menggantikan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu dijawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) berkata, waktu itu satu surat telah ditulis dan dihantar kepada Perdana Menteri (PM) untuk mengusulkan Undi Tidak Percaya di Parlimen namun telah ditolak mentah mentah oleh Abdullah Badawi.
“Surat memang ditulis kepada PM, usul kepada dewan yang mulia ini, telah hilang kepercayaan kepada PM dan kerajaan pimpinannya ditandatangani oleh saya selaku Presiden KEADILAN, Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP dan Hadi selaku Presiden Pas.
“PM pada waktu itu jawab tidak perlu, dia enggan melakukan, dan menjawab selepas (sidang) Majlis Tertinggi Umno mengatakan tidak perlu.
“Jadi kita terbatas tindakan kita kerana kita nak ikut jalur Perlembagaan. Dalam lompongan masa antara September sehingga sidang Parlimen 13 Oktober itulah pesawat khas dibawa ke Taiwan untuk belajar pertanian. Sehingga orang yang telah bersetuju dengan Marang, Permatang Pauh dan Gelang Patah masa itu beralih pandangan.
“Saya ingat penjelasan ini dapat disahkan kerana saudara Kulim Bandar Baharu (Ahli Parlimen Datuk Seri saifuddin nasution Ismail) memang melihat dan membawa surat itu kepada pejabat PM,” katanya mencelah perbahasan Saifuddin berkenaan usul Rang Undang Undang Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti, semalam
Saifuddin yang menyambung hujah Anwar mengakui beliau menghantar surat berkenaan ke pejabat PM, susulan keputusan Pakatan Rakyat ketika itu mahu melakukan perubahan di dalam dewan setelah mendapat jaminan sokongan 40 Ahli Parlimen BN.
“Saya menyerah sendiri surat itu pada ketika itu kepada Ketua Setiausaha Sulit PM di pejabat PM. Sebab apa … kami tidak buat dinner di Sheraton, kami buat di Parlimen,” katanya dan mendapat sorakan dari beberapa Ahli Parlimen.