Gitaris legenda Carlos Santana rebah atas pentas ketika konsert


Astro Awani
Gitaris legenda Carlos Santana rebah atas pentas ketika konsert
Kakitangan perubatan dan kru membantu Santana selepas dia pengsan di atas pentas ketika persembahan di Teater Muzik Pine Knob di Clarkson, Michigan, 5 Julai 2022. -Reuters
LEGENDA rock Carlos Santana dilaporkan pengsan di atas pentas ketika persembahan konsertnya di Michigan, Amerika Syarikat (AS).
Menurut kenyataan pasukan pengurusannya yang disiarkan di akaun Facebook, Santana "mengalami keletihan dan dehidrasi akibat cuaca panas."
Gitaris legenda itu sedang membuat persembahan di Pine Knob Music Theatre kira-kira 20 minit sebelum rebah di atas pentas.
Difahamkan suhu di Clarkston mencecah 32 darjah Celsius pada Selasa, hampir 10 darjah di atas paras purata, lapor CNN.
Dalam video yang dirakam peminat, pemuzik berusia 74 tahun itu dilihat terduduk di sudut pentas dan berhenti membuat persembahan.
Semasa kakitangan perubatan meluru untuk membantu Santana, kru pentas pantas mengangkat kain pemidang hitam untuk menghalang pandangan ke pentas.
Santana ketika dibawa keluar dari pentas bagaimanapun sempat melambai kepada peminat.
"Carlos telah dibawa ke unit kecemasan di McLaren Clarkston untuk pemerhatian dan berada dalam keadaan baik," kata kenyataan di Facebook rasmi pemuzik itu.
Sementara itu, Santana memaklumkan punca dia rebah di atas pentas di akaun Facebooknya.
"Terlupa makan dan minum air jadi saya dehidrasi dan pengsan," tulisnya.
Santana turut menitipkan pesanan ringkas serta mengucapkan terima kasih kepada peminat di atas doa dan ingatan mereka.
Gitaris legenda itu dijadual membuat persembahan dengan Earth, Wind and Fire pada Rabu malam di Pennsylvania, namun konsert itu telah ditangguhkan, menurut kenyataan itu.
Persembahan Santana pada Isnin adalah sebagai sebahagian daripada konsert CNN 'The Fourth in America'.

No comments: