Syarikat sawit perlu dihadkan untuk jual pasaran tempatan
Syarikat peladangan sawit disaran agar dihadkan 15% daripada pengeluarannya untuk pasaran tempatan agar harga minyak masak dapat diturunkan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut telah ditimbulkan beliau di Parlimen sedikit masa lalu namun tidak mendapat sambutan dari pihak Kerajaan BN – PN.
“Saya menegaskan termasuk di Parlimen tahun lalu. Apa salahnya kita tetapkan syarikat yang untungnya besar menghadkan eksport dan memperuntukkan 10 atau 20% pengeluran untuk keperluan tempatan dan dengan kos harga lebih rendah dan catatan untung yang lebih kecil.
“Indonesia pernah mengambil tindakan drastik menyekat eksport untuk mempastikan keperluan dalam negeri diperolehi. Saya tidak mengusulkan begitu. Saya usulkan sekurang kurangnya 15% pengeluaran
“Tidak munasabah hasil pengeluaran dalam negara banyak tetapi kos (harga minyak masak) meningkat kerana ikut pasaran dunia,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan keuntungan yang diperolehi syarikat sawit gergasi Malaysia yang menikmati tambahan keuntungan selepas pandemik Covid 19.
Katanya, tidak ada masalah syarikat besar berkenaan berkorban sedikit untuk merendahkan harga minyak masak dalam negara.
“Berapa untung Sime Darby? Untung RM2.26 bilion bagi 2021, apakah tidak mungkn 10% pengeluaran diturunkan supaya keuntungan masih dicatat tetapi untungnya lebih rendah
“Apakah berani kepimpinan negara berdepan syarikat gergasi? Sebab di Parlimen saya bertanya PM dan menteri mewakili siapa? Rakyat bawahan atau saudagar korporat besar,” katanya.
Anwar juga membandingkan keuntungan sebuah lagi syarikat sawit gergasi, IOI Bhd yang pada 2022 pendapatannya meningkat sehingga RM11 bilion.
Kata Anwar, minyak sawit bukanlah barang import yang kerajaan perlu berikan subsidi tetapi memerlukan sedikit keberanian Perdana Menteri dan Menteri menghadapi konglomerat perladangan demi mempertahankan kehidupan rakyat.
“Saya tak minta dari pekebun kecil, tetapi syarikat untung RM1 bilion setahun maka kenakan syarat ini. Mengapa pimpinan negara tak sanggup bantu rakyat dengan pastikan syarikat pengeluar sawit itu menghadkan?
“Kalau keperluan negara 10 – 15% maka sekurang kurangnya keperluan (asas) rakyat miskin dapat ditangani,” katanya lagi.
Mulai 1 Julai lalu subsidi untuk minyak masak botol telah ditarik balik dan menyaksikan peningkatan harga yang drastik. Malah terdapat jenama minyak masak botol yang peningkatan harganya melebihi 50%.
Rakyat B40 disarankan kerajaan membeli minyak masak paket namun kekurangan bekalan menyebabkan rakyat terpaksa membeli minyak botol yang mahal harganya.