Saarani akhirnya buka mulut isu ketua Puteri Umno Perak dipecat tanpa sebab

 


Saarani akhirnya buka mulut isu ketua Puteri Umno Perak dipecat tanpa sebab


UMNO Perak tidak terlibat dalam urusan lantikan Ketua Puteri UMNO negeri yang baharu sebaliknya keputusan merupakan hak Ketua Puteri UMNO seperti di dalam perlembagaan parti.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua urusan sayap parti diuruskan sendiri oleh ketua masing-masing termasuk soal lantikan Ketua Puteri UMNO negeri-negeri.

Menurutnya, oleh sebab itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mempunyai kuasa melantik dan menukar mana-mana Ketua Puteri UMNO negeri.

“Pada saya tidak ada unsur-unsur menyalahi perlembagaan. Ketua Puteri UMNO telah menggunakan hak dia untuk melantik dan menukar. Saya tidak nampak ada isu sebab Puteri UMNO Perak ini ditukar.

“Cerita bagaimana Ketua Puteri UMNO Lenggong itu dilantik sebagai pengerusi bukan kerja saya. Dia tak pun berunding dengan saya dan dilantik atas kuasa itu, maka saya menghormatinya,” kata beliau kepada pemberita selepas program Moh Mengopi Bersama DSSM di Pasar Awam Tapah, di sini pada Isnin.

Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong berkata, Ketua-ketua Puteri UMNO bahagian di Perak telah dipanggil dan diberikan nasihat mengenai hak ketua mereka untuk melantik dan menukar teraju Puteri UMNO negeri.

Menurutnya, sesiapa pun ketua yang dilantik mereka perlu terus bersatu dan fokus kepada peranan masing-masing.

Kata Saarani, mereka perlu memberi tumpuan terhadap usaha mendekati pengundi muda wanita di negeri ini.

Sinar Harian pada 3 Jun lalu melaporkan pemecatan Ketua Puteri UMNO Perak, Suzmaniza Sulaiman secara mengejut menyebabkan gerak kerja sayap UMNO itu sedikit terganggu.

Mengakui perkara itu, Suzmaniza berkata, keputusan menggugurkannya sebagai Ketua Puteri UMNO negeri hanya dimaklumkan selepas Mesyuarat Agung Khas UMNO 15 Mei lalu.

No comments: