CALON PAYUNG TERJUN TIADA TEMPAT DALAM UMNO, APAKAH TENGKU ZAFRUL BAKAL SENASIB MEGAT JUNID DAN AZIM ZABIDI?

 

UMNO adalah parti akar umbi di mana tunjang kekuatannya bukan saja disebabkan jumlah ahlinya seramai 3.4 juta orang, tetapi juga kerana 20 ribu cawangan di seluruh negara yang dimilikinya.

Selain hampir setiap kampung dan taman perumahan ada cawangan UMNO, kadang-kadang di kawasan yang tiada manusia atau orang Melayu tinggal pun tetap ada cawangan UMNO.

Cawangan UMNO seperti itu biasanya disebut sebagai cawangan bunian.

Tidak pasti di negeri-negeri lain, tetapi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, banyak sekali wujud cawangan-cawangan bunian tersebut.

Dengan yang demikian, UMNO secara tradisinya adalah parti yang sentiasa mendekati ahli serta masyarakat melalui pelbagai program yang diaturnya, sesuai dengan jumlah cawangan serta ahli yang dimilikinya.

Mereka yang ingin menjadi pemimpin dalam UMNO, biasanya akan memulakan langkah dengan berjinak-jinak di peringkat cawangan dahulu sebelum melangkah untuk memegang jawatan di peringkat bahagian.

Dengan aktif dan memegang jawatan di bahagian juga, mereka seterusnya akan mencuba nasib bertanding di peringkat pusat atau melobi untuk menjadi wakil rakyat, sama ada di peringkat Dun atau Parlimen.

Sebab itu, secara umumnya mereka yang menjadi wakil rakyat mewakili UMNO di sesuatu kawasan itu adalah orang tempatan dan sudah begitu dikenali oleh penduduk setempat.

Berbeza dengan beberapa parti lain, walaupun orang tempatan selalunya masih menjadi keutamaan, namun kerapkali pemimpin luar didatangkan untuk bertanding di sesuatu kawasan itu.

Biasa juga berlaku seseorang pemimpin itu bertanding di kawasan lain daripada kawasan yang ditandinginya pada pilihan raya sebelum itu dan kemudian bertukar kawasan lagi dalam pilihan raya seterusnya.

Baik PKR, DAP, Pas dan lain-lain parti, berpindah kawasan adalah amalan yang boleh diterima dan tidak sesekali menyebabkan pemimpin tempatan merajuk atau memboikot pilihan raya.

Kecintaan kepada parti, akur kepada keputusan pemimpin dan ingin melihat parti mendapat kemenangan adalah perkara yang mampu mengawal berlakunya perkara-perkara tidak baik itu.

Tetapi, di dalam UMNO, perkara itu sukar diterima kerana pemimpin tempatan adalah mereka yang telah biasa bergemulang dengan rakyat, dengan imbuhan yang mereka harapkan daripada keaktifan berpolitik selama bertahun-tahun adalah menjadi wakil rakyat atau bergelar YB.

Lantaran itu, kerapkali calon luar atau calon payung terjun dalam UMNO akan berdepan pemboikotan sehingga akhirnya gagal meraih kemenangan, meski ada juga yang diterima dan mampu menjadi wakil rakyat.

Megat Junid Megat Ayub, seorang bekas menteri dan Azim Zabidi, bekas Bendahari UMNO adalah contoh dua pemimpin UMNO yang kalah pilihan raya apabila diletakkan sebagai calon payung terjun di tempat yang bukan mereka aktif berkecimpung dalam politik.

Megat Junid yang sebelum itu Ahli Parlimen Pasir Salak serta Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan telah kalah apabila dipindahkan bertanding di Parit pada PRU tahun 1999, manakala Azim Zabidi yang juga Ketua UMNO Bukit Bintang turut kecundang dalam percubaan pertamanya diletakkan sebagai calon payung terjun di Bukit Gantang pada PRU 2008.

Dalam erti kata lain, pemimpin UMNO yang tidak pernah menebas lalang untuk membuat jalan di sesuatu kawasan, jangan sesekali berharap akan mendapat laluan mudah untuk menjadi wakil rakyat.

Menjelang PRU15 akan datang, daripada satu kawasan ke satu kawasan nampaknya sedang dijadikan tempat yang sesuai untuk berlabuh oleh pemimpin payung terjun tersohor dalam kerajaan sekarang iaitu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mula-mula Lembah Pantai, kemudian Kuala Pilah dan yang terbaru ialah di Kuala Selangor.

Merasakan Kuala Selangor sesuai agaknya untuk meneruskan karier politiknya dan memastikan jawatan menteri terus dapat dipertahankan, beliau lantas mengumumkan kawasan itu sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, sambil mengaku Kuala Selangor ada nilai sentimental kepada dirinya.

Dibawa menjadi menteri ketika era Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri, juga baru diketahui rupa-rupanya Tengku Zafrul adalah ahli UMNO, dikatakan di bahagian di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan.

Dengan tidak segan-segan mengakui Kuala Selangor ada nilai sentimental kepadanya, di samping mengumumkan sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, tidaklah sukar memahami bahawa Tengku Zafrul sebenarnya ingin bertanding di kawasan itu dalam PRU15 akan datang ini.

Dengan kedudukannya sebagai ahli UMNO Lembah Pantai dan tidak pernah aktif menebas lalang atau membuat jalan di Kuala Selangor, ini bermakna jika beliau diletakkan bertanding mewakili BN di kawasan itu, statusnya adalah sama seperti ketika Megat Junid dan Azim Zabidi ketika bertanding di Parit serta Bukit Gantang sebelum ini.

Apakah pengundi Kuala Selangor sedia menerima Tengku Zafrul dengan tangan terbuka atau akan menghukumnya sebagaimana pengundi Parit dan Bukit Gantang menghukum Megat Junit serta Azim Zabidi? – ShahbudinHusin 08/6/2022.



No comments: