Malaysia perlu kepimpinan kukuh, tinggalkan gaya pemerintahan lapuk - Anwar



Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih kukuh dan tidak terikat kepada gaya lama dan idea lapuk pemerintahan.


Visi itu dibawa oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dijemput menghadiri dialog Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC), semalam.


"Untuk berdaya saing, Malaysia memerlukan kepimpinan yang kukuh dan visi untuk melepaskan diri daripada pendekatan lapuk pada masa lalu.


"Inilah mesej yang saya bawa kepada delegasi Majlis Perniagaan EU-ASEAN," katanya


Lawatan deligasi EU-ABC yang mempromosikan kepentingan perniagaan Eropah di rantau ASEAN itu adalah yang pertama sejak 2019 dan menurut Anwar, beliau berpeluang mendengar pengalaman mereka berniaga di Malaysia serta seluruh Asia Tenggara.


Delegasi EU-ABC yang melawat Malaysia pada minggu ini mengadakan pertemuan dengan beberapa kementerian dan agensi agensi kerajaan.


Pandangan ekonomi - politik Anwar begitu dihargai delegasi perdagangan Eropah

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, perwakilan yang beliau temui mewakili syarikat Eropah yang menyokong lebih 10,000 pekerjaan di Malaysia.


"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia mesti bekerja keras untuk membangkitkan keyakinan terhadap ekonomi dan dasar ekonomi kita untuk menarik pelaburan asing.


"Ini termasuk mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan percanggahan pendapat mengenai dasar perdagangan.


"Ini juga memerlukan kita mendengar pemimpin perniagaan, memahami masalah mereka dan melakukan apa yang mungkin untuk menangani keperluan mereka dengan cepat sambil memastikan kita melindungi kepentingan pekerja kita," katanya lagi.


Tegas Anwar, sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1990-an pendekatan seumpama itulah yang beliau ambil sehingga ekonomi negara berkembang menjadi Harimau Asia.

No comments: