TARIKH SIDANG KHAS KEDUA RUU LOMPAT PARTI PERLU DITETAPKAN 11 APRIL INI

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian tegas kami bahawa meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama di dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

Amatlah jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.

Justeru, Pakatan Harapan akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini.

Namun, syarat utama ialah draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MOU yang telah bermesyuarat semalam.

Ketua Pembangkang juga telah menyampaikan pendirian Pakatan Harapan ini kepada Perdana Menteri semalam.

Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.

Kami turut menggesa agar Menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada 11hb April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti.

Pakatan Harapan percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan.

DS Anwar Ibrahim

Parti Keadilan

Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu

Parti Amanah

Negara (AMANAH)

Anthony Loke

Parti Tindakan

Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau

Pertubuhan

Kinabalu Progresif

Bersatu (UPKO)

8 April 2022.



No comments: