Tafsiran lompat parti punca ditangguh?
Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti (RUU ALP) mungkin tidak dibentangkan pada sidang khas Parlimen 11 April 2022 ini.
Menurut beberapa portal berita yang dekat dengan kabinet Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sidang 11 April ini berkemungkinan hanya akan meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa membentangkan RUU ALP.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, jika hanya Perlembagaan yang dipinda maka hal itu tidak akan membawa apa apa makna sekiranya tidak dibentang RUU Anti Lompat parti.
“Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan diadakan dalam masa empat atau lima bulan akan datang. Tanpa ada Akta Anti-Lompat Parti maka gejala lompat-melompat akan berulang lagi. Yang boleh mencegah kejadian Ahli Parlimen dari melakukan lompat parti ialah adanya undang-undang yang keras dan tegas mencegahnya
“Sekadar pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (c) atau Perkara 48(6) tidak akan menakutkan Ahli-ahli Parlimen yang oportunis untuk melompat. Mereka hanya akan takut sekiranya ada Akta Anti-Lompat Parti untuk bertindak dan berkuatkuasa terhadap mereka.
“Kerajaan BN-PN pimpinan Ismail Sabri nampaknya berdolak dalik. Mereka tidak serius dan tidak ada komitmen ikhlas untuk mencegah gejala lompat parti. Yang kelihatan jelas bersungguh sungguh membawa agenda rakyat untuk membanteras perbuatan tidak beretika ini hanyalah Pakatan Harapan (PH) dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang lainnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hassan lagi, sudah dua kali RUU ALP gagal dibentangkan oleh Kerajaan. Pertama, gagal pada sidang mesyuarat penggal yang lalu berakhir pada 24 Mac 2022. Kedua, pada sidang khas 11 April ini walaupun PM Ismail Sabri dan de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi lantang memukul canang bahawa RUU ALP akan dibentang di Parlimen.
Kegagalan tersebut, katanya, tidak wajar berlaku memandangkan masa yang cukup telah diberikan dan menunjukkan Perdana Menteri telah gagal memimpin Kabinetnya supaya bersetuju dengannya.
“Yang jadi masalah sehingga RUU ALP gagal dibentang di Parlimen pada 11 April ini hanyalah berkisar kepada satu isu sahaja, iaitu isu tafsiran apa itu yang dimaksudkan dengan perkataan “lompat”. Soal istilah, soal tafsiran yang jadi masalah besar nampaknya.
“Itu alasan untuk menggagalkan usaha mengwujudkan Akta Anti-Lompat Parti di Malaysia. Kerajaan BN-PN sebenarnya tidak ada keazaman politik (political will) untuk membanteras gejala pengkhianatan mandat rakyat ini.
“Alasan mencari tafsiran yang tepat apa yang dimaksudkan oleh istilah “lompat” adalah alasan tidak munasabah yang diadaadakan seperti kata bidalan Melayu, “ Hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih”,” katanya.
Menurut Hassan lagi, jika Kerajaan bersungguh-sungguh maka RUU ALP patut dibentangkan dengan tafsiran “lompat” yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dengan PH (MoU) yang dipercayai telah diperhalusi oleh Peguam Negara.
“Maka bawa RUU ALP itu di Parlimen dengan segala tafsiran yang ada. RUU itu boleh dipinda semasa perbahasan di Parlimen pada peringkat dasar dan juga Jawatankuasa.
“Jika RUU ALP ini tidak dibawa ke Parlimen sekarang dan PRU berlangsung dalam masa terdekat maka rakyat dan negara akan terlepas satu peluang untuk mewujudkan satu instrumen undang-undang yang penting untuk mencegah gejala lompat parti.
“Tidak ada undang-undang buatan manusia yang sempurna seratus peratus dan kalis kesilapan atau kecacatan. Proses semakan, ulangkaji, atau pindaan boleh dilakukan dari semasa ke semasa di Parlimen untuk memperbaiki Akta Anti-Lompat Parti sekiranya ia berjaya digubal sekarang.
“Masalah tafsiran apa itu “lompat” boleh diperbaiki, dikemas dan diperhalusi dari semasa ke semasa melalui pindaan akta biasa. Yang penting wujudkan segera Akta Anti-Lompat parti sekarang. Bukan esok, bukan lusa. Berlengah lengah sebenarnya adalah dalih untuk mengelak undang-undang ini berjaya digubal,” katanya
Beliau menambah, adakah puak-puak di dalam Kerajaan, khususnya di kalangan anggota Kabinet tidak mahu PH dilihat menang sekiranya RUU ALP berjaya dibawa di Parlimen dan diluluskan?
“Ada di kalangan mereka di dalam Kerajaan yang ingin membalas dendam atas kekalahan mereka dalam usul berkenaan Akta SOSMA baru-baru ini yang ditentang sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Pembangkang.
“Kali ini di pihak Kerajaan pula ingin melihat RUU ALP digagalkan dari dibawa ke Parlimen. Perbuatan mereka sepertilah “ibu bapa yang membunuh anak sendiri”.
“Bagi PH khususnya, perlulah mengkaji semula tentang komitmennya terhadap MoU. RUU ALP adalah teras dan intipati dalam MoU. Majlis Presiden PH pernah menyatakan kepada umum bahawa jika Kerajaan gagal melaksanakan RUU ALP, maka MoU akan dibatalkan,” katanya lagi.
Maka, menurut Hassan, sekarang adalah “Moment of Truth” kepada Majlis Presiden PH sekiranya mereka masih berpegang dengan pendirian berkenaan.