Tiada lagi penggiliran ke sekolah mulai 17 April, kata menteri

 


Radzi Jidin berkata murid bagi kumpulan A akan hadir tanpa penggiliran
 bermula 17 April manakala kumpulan B pada 18 April.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan semua pelajar sekolah rendah dan menengah akan hadir tanpa lagi menggunakan sistem penggiliran bermula 17 dan 18 April ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata bagi murid kumpulan A melibatkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan hadir tanpa penggiliran bermula 17 April.

“Bagi kumpulan B iaitu murid di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Sabah Sarawak, Putrajaya dan Labuan sistem tanpa penggiliran bermula 18 April.

“Keputusan itu dibuat selepas kita melihat pengoperasian harian sekolah rendah bermula 21 Mac lalu yang secara bersemuka dan sekolah menengah bermula 4 April berjalan lancar,” katanya melalui rakaman video dimuat naik di Facebooknya.

Radzi berkata, sebelum itu kementerian mengadakan perbincangan secara panjang lebar mengenai kehadiran pelajar ke sekolah tanpa penggiliran.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan murid dan guru supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pematuhan SOP penting walaupun kita telah beralih ke fasa endemik namun masih mengekalkan sop ditetapkan. Ia penting terutama semua murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran dan saya memohon jasa baik ibu bapa sentiasa ingatkan anak-anak mengenai pematuhan sop sebagai satu keutamaan,” katanya.

Sebelum ini, KPM memutuskan sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 pelajar, dikehendaki mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid tahun tiga hingga lima.

Bagi murid berkeperluan khas (MBK), penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), prasekolah, Tahun 1, 2 dan 6 bagaimanapun perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

“Semua ketetapan ini turut terpakai kepada murid sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM.

“Bagaimanapun, sekolah rendah swasta yang mempunyai enrolmen melebihi 600 pelajar, boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran. KPM akan membuat pertimbangan sebelum kelulusan diberikan,” kata Radzi dipetik sebagai berkata.



No comments: