Pertubuhan Gabungan Pilihan
Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengharapkan kelewatan membentang Rang Undang
undang (RUU) Anti Lompat Parti akan membawa kepada pembentukan akta yang lebih
baik dan sempurna.
Menurut kenyataan BERSIH,
kelewatan pembentangan yang dijanjikan pada 11 April ini sedikitnya menimbulkan
kekecewaan dalam kalangan rakyat yang mahukan pilihan raya adil pada masa
hadapan, namun diharapkan kerajaan akan berusaha keras membentangkannya pada
sidang Julai nanti.
"BERSIH menuntut kerajaan
agar komited membentangkan RUU anti-lompat baharu dan lebih kukuh pada minggu
pertama sidang Parlimen Julai.
"Bagi mengelak kelewatan
selanjutnya, (dicadangkan) RUU Anti-Hopping Recall yang dibentangkan oleh Ahli
Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said harus diterima pakai untuk
rundingan dan penyempurnaan segera.
"Namun BERSIH berasa
kecewa dengan berita terkini bahawa Kabinet Persekutuan telah membuat pusingan
U pada pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang dijadualkan pada Isnin ini,
biarpun Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi dilaporkan berkata sidang
khas Parlimen akan diteruskan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan
memudahkan pengenalan RUU anti-lompat pada masa hadapan," kata mereka.
Menurut BERSIH lagi, RUU Anti
Lompat Parti sedia ada masih terdapat beberapa kelemahan dan boleh diperbaiki
sementara tempoh penangguhan kerana ketua parti boleh memecat Ahli Parlimen
sekiranya tidak sehaluan dan boleh mengosongkan kerusi untuk diadakan Pilihan
Raya Kecil.
Oleh itu, BERSIH mempromosikan
RUU yang mana rakyat diberi peluang menentukan sama ada wakil rakyat tersebut
perlu dipecat atau dikekalkan melalui Undang-undang Anti-Hopping Recall yang
telah digubal oleh BERSIH dan dimajukan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said
sebelum ini.
"Dalam reka bentuk itu,
kerusi mana-mana Ahli Parlimen boleh dikosongkan atas tiga alasan; Ahli
Parlimen keluar atau dipecat oleh parti, Ahli Parlimen Bebas menyertai parti,
serta lompat parti oleh parti yang tidak dilindungi oleh Akta Anti Lompat parti.
"Dengan menyerahkan
keputusan kepada pengundi, Undang-undang Anti-Hopping Recall boleh mengatasi
dua kecacatan dalam cadangan semasa Akta Anti Lompat Parti," kata mereka.
Namun walau apa pun tafsiran
dan RUU yang akan dibentangkan, BERSIH berharap proses itu dapat disegerakan
dan kerajaan tidak melakukan sekali lagi pusingan U yang akan merosakkan
keyakinan pengundi kepada proses pilihan raya.
Menurut BERSIH, apabila RUU
Anti Lompat Parti dibentangkan pada Julai, Ahli Parlimen atau parti yang enggan
menyokong rang undang-undang itu perlu bersedia untuk menghadapi kemarahan
pengundi yang terpaksa mengalami ketidakstabilan politik selama bertahun-tahun
dan melihat undi mereka dikhianati oleh ahli politik.