Siapa musuh dalam selimut RUU Anti-Lompat Parti?



Pada 24 Mac lalu, Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengumumkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan pada 11 April (Isnin depan).

Namun tidak sampai dua minggu, kerajaan membuat pusingan U – RUU anti-lompat parti perlu dikaji lagi; termasuk takrif lompat parti itu sendiri! Menghampakan.

Yang akan dibentangkan Isnin ini adalah pindaan kepada peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan RUU itu sendiri.

Jadi, bilakah sebenarnya RUU itu akan dibentangkan? Wallahu’alam.


Yang pasti, pemimpin-pemimpin tertentu akan mengulang wirid sama – “kita tetap komited, kita terus berazam” dan macam-macam lagi untuk meyakinkan rakyat akan iltizam mereka merealisasikan RUU berkenaan.

Namun wirid sebegini tidak menjelaskan punca RUU tidak dibentangkan Isnin ini. Sudah dua kali pembentangan ditunda. Sebelum ini ia patut dibawa ke Dewan Rakyat pada 24 Mac dan terbaru 11 April. Jika perkara asas masih belum dimuktamadkan, mengapa dua kali buat pengumuman?

Justeru rumusan logik yang boleh dibuat ialah, ada dalam kalangan parti dalam kerajaan yang tidak bersetuju RUU anti-lompat parti diperkenalkan untuk mengekang budaya politik katak yang mencengkam negara?

Presiden Umno, Zahid Hamidi sendiri bertanya sama ada penangguhan RUU itu disebabkan ada gunting dalam lipatan. Ada pihak “dalam selimut” kerajaan yang menghalang RUU menjadi realiti?

Persoalan itu munasabah kerana Pakatan Harapan sebagai blok pembangkang terbesar menuntut Ismail Sabri memperkenalkan undang undang anti-lompat parti sebagai syarat untuk memeterai MoU kerjasama dengan kerajaan.

Umno sendiri, sebagai pihak yang terkesan dengan katak politik sebelum dan sesudah Langkah Sheraton pada 2020, juga antara yang paling lantang mahukan undang-undang anti-lompat parti, segera!

Malah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi keutamaan cukup tinggi kepada RUU itu sebagai sesuatu penting untuk menjamin keutuhan hak pengundi dan sistem demokrasi itu sendiri.

Justeru persoalan “gunting dalam lipatan” yang dibangkitkan Zahid wajar diperhalusi. Adakah Ismail menjadi mangsa parti tertentu dalam kerajaan yang mempunyai motif tersendiri menolak RUU itu?

Semalam, laporan media menyebut Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak syarat Ahli Parlimen yang lompat parti perlu mengosongkan kerusi mengikut RUU yang dicadangkan itu.

Laporan itu segera ditolak oleh jurucakap Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, yang mendakwa laporan itu “langsung tidak melambangkan semangat perbincangan mesyuarat MPT” berkenaan.

Wan Saiful berkata pandangan rasmi parti akan dinyatakan apabila “kita mendapat salinan draf sebenar” seraya menegaskan pemimpin Bersatu seperti Mas Ermieyati Samsudin ada peranan penting dalam proses menyediakan draf akta berkenaan.

Untuk menunggu sehingga mendapat salinan draf sebenar sebelum memberikan pandangan rasmi adalah cara selamat untuk sesebuah parti jika ia enggan memberikan komitmen jelas menyokong RUU itu sendiri atau pun peruntukan tertentu di dalamnya.

Namun sama ada Bersatu bersetuju atau tidak dengan peruntukan tertentu, ia harus mengatakannya dengan tuntas.

Bersatu dalam posisi membuat kenyataan jelas kerana seperti yang diakui oleh Wan Saiful sendiri, wakilnya, Mas Ermieyati “memainkan peranan penting” dalam penyediaan draf akta berkenaan.

Sayangnya, Bersatu walaupun “memainkan peranan penting” dalam proses RUU ini nampaknya lebih banyak berdiam.

Tidakkah tindak-tanduk Bersatu berhubung isu RUU ini sebenarnya bak bidalan “lontar batu sembunyi tangan”? Tentunya hanya kenyataan tegas pimpinan tertinggi Bersatu boleh meleraikan persepsi bertebaran bahawa parti itu sebenarnya tidak teruja dengan RUU Anti-Lompat Parti ini.

Menurut Wan Junaidi, beberapa perkara RUU sedang disemak semula termasuk apa yang ditakrifkan sebagai lompat parti.

Veteran Umno, Shahrir Samad, sinis berkata, tidak mudah bagi sebuah kerajaan yang jemaah menterinya merangkumi mereka yang pernah lompat parti untuk bersetuju dengan tafsiran lompat parti atau katak politik.

Antara 39 Ahli Parlimen yang keluar parti asal selepas memenangi PRU14, termasuklah Mas Ermienyati, Mustapha Mohamad, Hamzah Zainuddin, dan Latiff Ahmad – semuanya keluar Umno dan berhijrah ke Bersatu dengan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno.

Selain Bersatu, parti dalam kerajaan yang kelu seribu bahasa ialah PAS, sekutu utama Bersatu dan Muhyiddin Yassin.

PAS yang mendakwa ia mengutamakan politik matang sepatutnya menjadi pendokong utama RUU Anti-Lompat Parti namun tingkah lakunya kini memaparkan sebaliknya.

Tidak ada gesaan atau desakan PAS kepada kerajaan menuntut RUU dibawa ke Parlimen seperti mana dijanjikan kepada rakyat. Malah tidak ada peringatan dikeluarkan PAS akan ‘dosa’ Ahli Parlimen yang keluar parti membelakangkan mandat rakyat.

Yang masih terus dikitar cuma dapatan Hadi bahawa rakyat “tertipu” mengundi Pakatan Harapan, justeru PAS tampil memberi sokongan kepada Muhyiddin bagi menubuhkan kerajaan baharu ‘pintu belakang’.

Tentunya Bersatu tinggal sebagai satu-satunya gandingan realistik untuk PAS menghadapi PRU15. Lantas memang masuk akal jika PAS ikut sahaja telunjuk Bersatu dalam membuat pendirian bersabit RUU.

Namun kedua-dua parti itu tidak boleh menutup mata kepada denyut nadi politik rakyat yang mahu RUU dilaksanakan untuk mengekang amalan politik katak, demi memulihkan kestabilan negara.

Langkah Sheraton memburukkan kestabilan politik negara bukan membaikinya. Tindakan Ahli Parlimen lompat parti dan menukar haluan untuk keuntungan peribadi – himpun harta benda atau melepaskan diri daripada geraham perundangan, harus diberhentikan serta merta.

Itu harus menjadi kunci kepada segala pertimbangan mana-mana parti dalam membuat pendirian berhubung RUU.

Dengan jaminan Pakatan Harapan semua 90 Ahli Parlimennya akan menyokong RUU berkenaan seharusnya Ismail tidak teragak-agak mengotakan janji.

Perahu sudah air, dayung sudah di tangan, Ayuh Pak Mail berdayunglah ke jeti yang lebih adil, rukun, dan demokratik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

No comments: