Pelitup logo SIRIM: Kenapa selepas 3 tahun?
Kerajaan digesa menjelaskan dimanakah logiknya peraturan pelitup muka memerlukan logo MS SIRIM setelah 3 tahun pemakaian tanpa logo berkenaan tidak menjadi masalah dan dianggap bertepatan dengan langkah mencecah jangkitan wabak Covid 19.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis Maharan, tindakan kerajaan yang akan mendenda rakyat menggunakan pelitup muka tanpa pengesahan SIRIM berkenaan merupakan sesuatu yang tidak bertimbang rasa dalam keadaan ekonomi yang ‘teruk’ ketika ini.
“Kenapa baru sekarang kuatkuasakan?
“Kerajaan sewajarnya mencontohi negara jiran yang mula melonggarkan syarat pemakaian pelitup muka memandangkan negara kita mula menuju ke fasa endemik, bukan menghukum rakyat dengan mengenakan denda yang jelas tidak masuk akal dan membebankan,” katanya.
Kebanyakan rakyat telah membeli sejumlah pelitup muka dalam kotak yang lebih murah secara pukal. Pelitup muka sebelum ini jarang mempunyai logo SIRIM, biar pun dibuat di dalam negara.
Dengan mengenakan langkah terbaharu maka rakyat terpaksa membuang stok pelitup muka dan membeli yang baharu.
Hal itu menyebabkan Napsiah mempersoalkan, mengapakah semua benda perlu dipolitikkan dan kroni manakah yang akan mendapat keuntungan berikutan pengeluaran surat kelulusan atau cop dagangan tersebut.
“Siapa yang bakal menjadi kroni? Semua benda hendak dipolitikan.
“Kenapa perlu susahkan rakyat lagi?
“Jika kesihatan menjadi alasan, lagi bagus kerajaan sahajalah yang beri percuma mask yang ditanda SIRIM kepada rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, rakyat dinasihatkan menggunakan pelitup muka 3 ply dan hal itu telah mencukupi bagi mengelakkan jangkitan virus Covid 19, tidak timbul cop SIRIM dalam isu jangkitan.