Bilakah artis akan dapat caruman KWSP seperti diperjuangkan PH?






Kehidupan artis di usia tua perlu diberi perhatian dan dibela oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Dr Maszlee Malik (PH - Simpang Renggam) bertanya adakah kerajaan BN telah mewajibkan skim Perkeso dan KWSP kepada para artis sebagaimana yang diperjuangkan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan yang lalu.

"Soalan saya lebih tertumpu kepda KWSP. Kita tahu KWSP memang ada inisiatif mereka sendiri tetapi ianya tidak mapan untuk para artis dan penggiat seni itu sendiri.

"Kita perlukan polisi yang lebih mapan untuk menjaga hari senja artis dan juga penggiat seni yang bekerja sendiri. Perlunya usaha dari Finas dan K-KOM memastikan ada polisi KWSP dicarumkan.

"Contohnya diwajibkan syarikat produksi dengan artis freelance ini sebagai bayaran, yang mana ini syarat untuk mendapatkan permit dan lesen untuk melakukan produksi," katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat sesi pagi.

Menurut Dr Maszlee, hal itu bukanlah cadangan baharu kerana telah digerakkan sejak 2019 namun tidak berjaya dilaksanakan kerana berlakunya perubahan kerajaan.

"Ini bukan perkara baru. 2019 sudah terdapat libat urus Finas dengan KWSP yang begitu mapan, yang begitu intensif memastikan kebajikan hari tua artis

"Soalannya apa jadi dengan pelan tersebut? Saya ingat di penghujung 2019 ia telah dikemukakan oleh pengerusi Finas lama sebelum kerajaan bertukar. Saya harap pelan itu dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjawab cadangan tersebut boleh dibincangkan dalam taks force yang ditubuhkan kementerian.

"Cadangan Simpang Renggam bagus dan kita perlu berbincang melalui task force dan mendengar cadangan. Kita mahu apa yang kita laksanakan dipersetujui. Melaui Finas kita telah melaksakanan Perkeso," katanya.

Tambah beliau, semua produksi filem yang terima dana kerajaan peruntukan caruman Perkeso ditolak secara automatik. Manakala KWSP juga akan dikemukakan syarat yang sama.

 

No comments: