Sultan Nazrin titah pilihan raya dilaksana secara bebas dan adil

 


Sultan Nazrin titah pilihan raya dilaksana secara bebas dan adil

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bebas dan adil bagi menjamin kesuburan amalan demokrasi.

Dalam memastikan perkara itu, Sultan Perak bertitah, Suruhanjaya Pilihan Raya melalui petugas pilihan raya hendaklah memainkan peranan dalam membantu calon yang berhasrat untuk bertanding dan rakyat yang mahu mengundi.

Titah baginda, ia bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan sehinggalah kepada penetapan tarikh, tempat serta waktu pilihan raya dilangsungkan.

“Oleh itu SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali – tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu bersikap berkecuali – tanpa memihak.

“Secara umumnya, istilah pilihan raya yang bebas dan adil merujuk kepada pilihan raya yang berkala, tulen, bersih, telus, serta kompetitif, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan asasi.

“Pilihan Raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka, merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas dari tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

“Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berucap lanjut, Sultan Nazrin bertitah di bawah prinsip tersebut perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik, dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam serta sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil.

Tambah baginda, pilihan raya yang bebas dan adil turut perlu melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan dan hak untuk mengundi secara rahsia.

“Pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi yang diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi.

“Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.

“Sesuatu pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat, malah menjadi satu piawaian antarabangsa akan tahap keutuhan hak asasi seseorang warganegara,” titah Sultan Nazrin lagi.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah cara sesuatu pilihan raya dikendalikan juga mencerminkan tahap pemikiran, intelek, kematangan, meluhurkan perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang.

Selain itu, ia melambangkan tahap integriti, keikhlasan serta amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara, titah Sultan Nazrin.

“Istilah bebas dan adil, walaupun mudah disebut, tetapi menghadapi piawaian paling rumit dan kompleks untuk dicapai dan diamalkan.

“Terdapat piawaian antarabangsa yang menyediakan garis panduan kriteria bebas dan adil dalam amalan pilihan raya. Istilah bebas dan adil, digunakan secara rasmi dalam dokumen antarabangsa pada tahun 1994, apabila Inter-Parliamentary Union (IPU) menerima pakai Deklarasi Kriteria Pilihan Raya Bebas dan Adil.

“Pengisytiharan tersebut menegaskan bahawa di mana-mana negeri, pihak berkuasa kerajaan mestilah berasal daripada kehendak rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya yang tulen, bebas dan adil, yang diadakan secara berkala berdasarkan hak mengundi secara bebas, sama rata dan rahsia,” titah Sultan Nazrin.

Antara aspek lain yang turut disentuh oleh Sultan Nazrin dalam ucapan baginda ialah Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Tanggungjawab politik; Tanggungjawab Membina Negara-Bangsa; serta Majlis Raja-Raja.