Saya akan balas setiap idea songsang Najib, kata Rafizi


Rafizi Ramli berkata beliau akan terus mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi daripada Najib Razak.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, lebih baik kerajaan menggunakan berbilion ringgit untuk membantu rakyat daripada menyelamatkan syarikat perkhidmatan petroleum Sapura Energy Berhad.

Beliau berkata demikian susulan gesaan bekas Perdana Menteri, Najib Razak supaya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengumumkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lalu, yang didakwa Najib sebagai kerugian terbesar bagi mana-mana GLC dalam sejarah negara.

“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil daripada pembiayaan wang rakyat), mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Najib dilaporkan menggesa kerajaan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) – yang memiliki 40% saham Sapura.

Jika Sapura muflis, katanya, hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang, dengan kira-kira 4,500 vendor atau pembekal akan terjejas dan memberi kesan buruk kepada pelabur tempatan.

Rafizi berkata, walaupun beliau bersimpati dengan nasib kakitangan Sapura yang menghadapi masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion ringgit ke atas GLC itu ketika perniagaan dan pekerja di seluruh negara turut berdepan masa sukar adalah tidak adil.

Katanya, lebih-lebih lagi berbilion ringgit telah disuntik ke dalam Sapura lebih sedekad lalu, tetapi syarikat itu terus mengalami masalah kewangan ketika harga minyak mentah di paras tinggi, berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik.

“Saya akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka dalam hari-hari seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib.

“Sekembalinya saya ke arena politik, setiap idea songsang dari Najib akan menerima maklum balas dari saya.”

No comments: