'PH hadapi persepsi buruk, harus bina naratif baharu' - Chang Lih Kang


 

Kekalahan demi kekalahan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seharusnya menyedarkan Pakatan Harapan (PH) dan KEADILAN bahawa persepsi yang dicipta oleh BN dan Pas terhadap gabungan itu telah melekat dalam di hati rakyat.



Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, kekalahan di PRN Johor baru baru ini lebih kepada pengundi tidak boleh move on terhadap imej buruk 22 bulan kerajaan PH yang KEADILAN juga ikut serta di dalamnya.



"Saya rasa kekalahan demi kekalahan itu sangat sukar untuk ditelan, dan saya rasa ini mungkin salah satu petunjuk bahawa rakyat belum yakin untuk undi kita balik.



"Walaupun PRU 2018 mereka undi PH tetapi kali ini mereka belum bersedia untuk undi kita balik. Saya rasa ini sesuatu yang kita perlu muhasabah



"Ada dua perkara pokok. Pertama naratif. Saya rasa mungkin isu yang kita bangkitkan tidak menyentuh hati pengundi.



"Isu yang diutarakan BN atau Najib misalnya bangkitkan pengeluaran duit RM10,000 KWSP. Di sebelah sana PN juga, Muhyiddin Yassin membangkitkan isu perlupusan hutang 80% peneroka Felda. Ini isu menyentuh hati rakyat biasa



"Isu yang PH bangkitkan pula hal biasa, walaupun kita rasa penting tetapi ia isu nasional seperti rasuah, 1MDB. Orang sudah tahu dan mereka telah buat keputusan dalam PRU 14, maka dalam PRN isu seperti ini sukar menyentuh hati pengundi.



"Oleh itu kita perlukan naratif baru," katanya dalam forum mata terbitan Studio Keadilan, malam tadi.



Menurut Lih Kang lagi, sepanjang dua dekad lalu KEADILAN lebih mudah untuk mempromosikan dorinya sebagai parti progresif berbilang kaum yang tidak wujud dalam kebanyakan parti parti politik di Malaysia.



Bagaimanapun, katanya selepas PRU ke 14 terdapat begitu banyak parti berbilang kaum yang wujud.



Tegas Lih kang, hal itu memerlukan pemikiran semula mengenai imej KEADILAN dan juga penjenamaan semula bagi menghakis persepsi negatif yang telah dibina musuh.



"Kita dalam politik yang penting persepsi. Kalau persepsi sudah dibentuk payah mahu tukar, biar pun persepsi itu bukan fakta (yang benar).



"22 bulan PH memerintah musuh kita bentuk persepsi bahawa kita gagal dalam pentadbiran. Kita nak tukar persepsi itu akan makan masa. Namun kita masih ada peluang walaupun kita rasa PRU makin dekat.



"Jadi kita tak perlu sentuh 22 hal bulan itu. Kita pergi ke naratif baru. Misalnya masalah ekonomi, sebab dalam PRN Umno berjaya mainkan isu ekonomi. Rakyat nak jaga periuk nasi mereka. Rakyat juga takut Covid, bagaimana kita nak tangani itu?



"Saya kena akui apa yang kita bawa waktu ini jauh dari hati rakyat (dan perlu naratif baharu)," katanya.



Justeru, Lih Kang berharap pemilihan parti yang akan membawa semula pakar strategi KEADILAN Rafizi Ramli ke arus perdana parti diharap akan merobah persepsi ke atas parti.



Beliau berharap dengan pasukan PRU 14 bergabung semula, rakyat akan lebih tertarik untuk mengundi KEADILAN.

 

No comments: