Cuti bersalin 98 hari dan cuti 7 hari bagi suami untuk menguruskan
anak dan isteri merupakan perjuangan Pakatan Harapan (PH) sejak sebelum dan
selepas menjadi kerajaan pada Mei 2018.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, lulusnya pindaan undang undang untuk melengkapkan cuti bersalin tersebut merupakan kejayaan besar kepada PH dalam membela hak hak wanita.
"Penambahan cuti bersalin 90 hari ini dimulakan oleh PH dalam manifesto 2013 dan 2018.
"Selepas jadi kerajaan pada 2018, kerajaan PH memulakan pindaan RUU Kerja. Tidak lupa juga NGO dan kesatuan sekerja yg mendesak pindaan selama ini.
"Ini satu bukti nyata manifesto PH boleh dilaksanakan dan jika diberi masa lebih banyak manifesto akan terlaksana," katanya di Facebook beliau.
Tegas Sim, cuti berkenaan tidak berjaya diluluskan oleh kerajaan kerana PH telah ditumbangkan pada Februari 2020.
Semalam, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan ahli Dewan Rakyat melalui undian suara. Dengan pindaan itu suami dapat menguruskan kelahiran anaknya dalam tempoh yang mencukupi.