Isteri Ng wujud syarikat samaran, ‘cuci’ wang ‘berjuta dolar’ daripada Jho Low, mahkamah diberitahu



pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng menerima USD35.1 juta menerusi syarikat samaran isterinya. (Gambar AP)

NEW YORK: Isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng, mewujudkan syarikat samaran dan membuka sebuah akaun bank yang menurut pendakwa raya, digunakan untuk membantunya membersihkan sogokan haram bernilai berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebilangan besar e-mel yang ditunjukkan kepada juri dalam perbicaraan rasuah Ng pada Isnin yang didakwa oleh Amerika Syarikat (AS) merupakan bukti bahawa isterinya, Lim Hwee Bin “memainkan peranan penting dan utama” dalam membantu suaminya membersihkan bayaran haram daripada tiga urus niaga bon yang diatur Goldman untuk 1MDB.

Lim tidak didakwa.

Ng dituduh melakukan konspirasi bersama bekas ketuanya, Tim Leissner, untuk membantu Low menyelewengkan berbilion dolar daripada urus niaga itu. Dia adalah satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berkait skandal itu.Leissner telah mengaku salah dan bekerjasama dengan kerajaan menentang Ng. Low didakwa secara ‘in abstentia’.

Sehari sebelum urus niaga bon pertama 1MDB dimuktamadkan, Lim bertanyakan untuk mewujudkan entiti syarikat samaran, kata ejen khas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Sean Fern yang memberi keterangan pada Isnin.

Syarikat itu pada mulanya dinamakan Silken Waters sebelum ditukar nama kepada Victoria Square, dibuka bersama sebuah akaun bank di UBS Group AG, hanya beberapa hari selepas urus niaga itu dimuktamadkan, kata Fern.

Manakala ibu Lim, Tan Kim Chin, disenaraikan sebagai pemilik benefisial syarikat samaran itu, kata Fern yang memberitahu bahawa dia menjejaki beberapa e-mel menunjukkan pegawai bank terlibat berkomunikasi dengan Lim mengenai Victoria Square dan akaun UBS.

Pihak pendakwa raya berkata, bagi urus niaga bon pertama berjumlah USD1.75 bilion yang dikenali sebagai Projek Magnolia, Low dan rakan sekutunya menyelewengkan sekurang-kurangnya USD500 juta, dengan menggunakan sebuah entiti samaran dikenali sebagai Aabar PJS Limited di British Virgin Islands.

Leissner berkata, dia menerima lebih USD60 juta daripada Low, ke dalam akaun yang dikawal oleh isterinya pada masa itu, iaitu Judy Chan Leissner.

Katanya, dengan menggunakan akaun Chan, dia menyalurkan USD35.1 juta menerusi entiti diwujudkan oleh Lim.

Ng berhujah bahawa Chan memberi wang itu kepada Lim untuk urus niaga perniagaan yang tidak berkaitan. Peguamnya berkata, mereka berhasrat untuk memanggil Lim memberi keterangan bagi pihak suaminya.

No comments: