PN muktamad bahagi kerusi, calon PRN Johor minggu depan, kata Muhyiddin

 


Ramai calon Perikatan Nasional yang berkelayakan untuk bertanding
 dalam PRN Johor sehinggakan sukar untuk membuat pilihan, menurut
 Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan pembahagian kerusi dan calon yang akan mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, minggu depan.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menerima senarai calon yang akan dipertaruhkan daripada parti-parti rakan komponen membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan.

“Dalam masa seminggu kita akan putuskan (jumlah pembahagian kerusi dan senarai calon).

“Senarai calon itu dah ada, tapi kita belum putuskan siapa yang kita nak pilih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik yang turut dihadiri beberapa pimpinan utama PN.

Ditanya sama siapa calon yang akan diletakkan untuk menggantikan beliau di DUN Gambir, Muhyiddin berkata gabungan itu mempunyai ramai calon berkelayakan.

“Tunggu sahaja, Johor ini calon yang berkelayakan ramai, kadang-kadang itu susah nak pilih sebab ramai yang layak,” katanya.

PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor selepas mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam parti gabungan termasuk PAS serta Gerakan.

Gabungan itu akan bertembung sekali lagi dengan rakan mereka BN dalam pentadbiran Putrajaya selain pembangkang yang disertai Pakatan Harapan (PH).

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dun Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

No comments: