Adakah PH akan bantu selamatkan Ismail? soal Puad


Puad Zarkashi mencadangkan supaya Ismail mengadakan PRU untuk membolehkan kerajaan mendapat mandat lebih selesa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata, kerajaan sedia ada tidak akan tumbang walaupun Perikatan Nasional (PN) menarik sokongannya terhadapnya.

Katanya, seperti mana sokongan tipis Barisan Nasional (BN) di DUN Johor mendorong gabungan itu untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN), keadaan adalah sama dalam kerajaan persekutuan di mana Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berdepan ‘majoriti lemah’.

“Sebab itulah kerajaan persekutuan perlu mengambil langkah sama di Johor. Jika benar khabar angin Ismail diancam, tidak bermakna kerajaan sekarang tumbang,” katanya.

“Kerajaan ini boleh diselamatkan dengan sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH). Lagipun, wujud MoU (memorandum persefahaman) antara kerajaan dan PH. Tapi persoalannya, adakah sokongan mereka secara percuma?

Puad berkata, antara keputusan yang membawa kepada desakan BN Johor membubarkan DUN ialah Bajet Negeri 2022 hampir tidak diluluskan selepas 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkecuali daripada mengundi.

“Sebab lain pula ialah kegagalan melantik senator Johor daripada MCA kerana ugutan daripada Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Nizham Abdullah Hamidi memaklumkan, ancaman Bersatu dan PAS baru-baru ini untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail adalah contoh tepat mengapa negara memerlukan mandat baharu daripada rakyat.

Sambil menyifatkan sokongan lemah terhadap Ismail boleh menggugat kestabilan negara, Puad berkata, ia menakutkan pelabur dan menjejaskan perkhidmatan awam.

“Jadi adakah senario politik seperti ini sihat?,” katanya.

“Cadangan Nizham supaya kerajaan mendapat mandat baharu adalah tepat.”

No comments: