Kes Zuraida Kena Saman KEADILAN RM10 Juta Bermula 29 Mac

 




Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Kes saman KEADILAN sebanyak RM10 juta terhadap bekas naib presidennya, Zuraida Kamaruddin kerana meninggalkan parti itu ditetapkan untuk perbicaraan mahkamah selama dua hari mulai 29 Mac ini.

Peguam KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan pendengaran penuh tindakan undang-undang berhubung kes tersebut akan dibuat pada 29 hingga 30 Mac.

“Pengurusan kes baru sahaja selesai pagi ini. Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 29 dan 30 Mac 2022,” katanya.

Ketika dihubungi, peguam Zuraida, Nizamuddin Abdul Hamid turut mengesahkan perkara itu.

Pada 19 Nov tahun lepas, pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, Latifah Mohd Tahar menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman KEADILAN dan memutuskan terdapat isu yang perlu dibincangkan dalam pendengaran penuh.

Zuraida yang juga menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Zuraida, yang menang kerusi parlimen Ampang buat kali pertama atas tiket KEADILAN pada 2008, kini menjadi ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu.

Terdahulu, Latifah berkata antara isu yang boleh dibawa ialah isu sebelum PRU14 pada 2018, bahawa semua ahli parlimen KEADILAN telah menandatangani bon dengan bersetuju untuk didenda RM10 juta setiap seorang jika mereka berpaling tadah kepada parti lain selepas menang sesuatu kerusi yang ditandingi, sama ada sebagai Adun atau ahli parlimen.

Sebelum ini, Zuraida dalam afidavitnya mendakwa saman yang dikemukakan KEADILAN ke atasnya bersifat “dendam” selepas dia meninggalkan parti tersebut.

Dalam hujah yang dikemukakan kepada mahkamah, Zuraida berkata perlembagaan KEADILAN sendiri memberi kebebasan kepada ahlinya untuk meletakkan jawatan tanpa menyatakan sebarang kewajiban mengenai penalti berbentuk pampasan atau balasan.

Pada 2 Oktober 2020, KEADILAN memfailkan saman RM10 juta terhadap Zuraida kerana keluar daripada parti itu.

Writ saman menyenaraikan Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution mewakili KEADILAN dalam tindakan undang-undang itu.

Zuraida bersama 11 anggota parlimen lain meninggalkan KEADILAN pada Februari 2020 untuk bersama Bersatu, Umno-BN, Pas dan GPS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selepas itu, beberapa anggota dewan undangan negeri yang berpihak kepada Azmin juga bertindak keluar daripada parti itu.

Pada 30 Dis 2020, melalui pernyataan pembelaannya, Zuraida menyatakan bahawa bon RM10 juta yang ditandatangani ahli KEADILAN sebelum bertanding pada PRU14 adalah tidak sah kerana Perlembagaan Persekutuan melindungi hak untuk menyertai atau meninggalkan parti politik.


No comments: