Terence buat ujian kedua didapati negatif dadah selepas tidak puas hati ujian pertama




Peguam Ramkarpal Singh memaklumkan anak guamnya Terence Naidu didapati negatif selepas membuat ujian saringan air kencing kali kedua di sebuah klinik pada 15 Januari 2022.

Menurut Ramkarpal, Terence tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah di dalam air kencingnya.

Tambahan pula katanya permintaan anak guamnya untuk pihak polis melakukan ujian kedua tidak dibenarkan.

Ujian saringan air kencing Terence Naidu didapati positif untuk empat jenis dadah pada lewat malam 13/1/2022.

“Saya telahpun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa selepas beliau dibebaskan atas jaminan polis pada 14/1/2022, beliau telah pada keesokan hari, iaitu 15/1/2022, sendiri pergi ke Klinik O2 di Pulau Pinang untuk membuat ujian saringan dadah dalam air kencingnya.

“Saya juga telahpun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa beliau telahpun membuat ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2.

“Oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah di dalam air kencingnya dan juga oleh kerana permintaan-permintaannya kepada pihak polis untuk melakukan ujian kedua tidak dibenarkan,” kata Ramkarpal.

Beliau berkata, sempel air kencing yang diambil di Klinik O2 tersebut telahpun dianalisa di makmal Pathlab dan keputusanya adalah bahawa langsungnya tiada sebarang jenis dadah dikesan di dalam air kencingnya yang dianalisa oleh Pathlab tersebut.

“Keputusan ini telahpun diperolehi oleh YB Terence hari ini.

“Justeru, YB Terence telahpun membuat satu laporan polis susulan hari ini di IPD Seberang Perai Tengah untuk melaporkan keputusan negatif ujian Pathlab tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat dalam perkara ini,” katanya.

Memandangkan perkembangan baru ini, menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu adalah jelas bahawa siasatan lanjut perlu diambil oleh pihak polis dengan kadar segera demi kepentingan keadilan di mana Terence bersedia untuk memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut.

“Diharapkan siasatan lanjut tersebut dilakukan dengan secepat mungkin,”jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar ditahan semasa serbuan polis di sebuah kelab malam di SPT pada 13 Jan lalu dan dia dikatakan menjalani ujian air kencing yang menunjukkan kesan positif dadah.

No comments: