AZAM BAKI ATAU SC YANG BOHONG

 

Sebagai memperjelaskan lagi keputusannya yang dipertikai ramai, Surujanjaya Sekuriti atau SC berkata, tiada bukti konklusif ditemui perdagangan proksi telah dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam urusan pembelian saham melibatkan akaunnya.

Dalam satu kenyataan petang ini, SC menjelaskan, Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.

“SC ingin menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpul semasa siasatan ke atas akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa beliau adalah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut.

“Azam mengendalikan akaun yang dibukanya, kerana dia telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut.

“Oleh itu, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),” tambah kenyataan media pengawal selia pasaran modal itu lagi.

Tetapi, tentunya kita masih belum lupa bahawa dalam penjelasannya sebelum ini, Azam sendiri yang mengaku akaunnya telah digunakan oleh adiknya, Nasir Baki.

Pengakuan seumpama itu turut diberikannya kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM yang dipengerusikan oleh Abu Zahar Ujang.

Malah, Azam juga berkata, oleh kerana saham-saham itu kepunyaan adiknya dan namanya sekadar digunakan saja, kesemuanya sudah dipindahkan kepada adiknya itu.

Dalam erti kata, saham itu sama sekali bukan milik Azam, tetapi milik adiknya.

Namun, bagaimana penemuan SC boleh mengesahkan Azam mempunyai kawalan ke atas akaun dagangannya sendiri, sedangkan Azam juga mengaku akaunnya diguna oleh adiknya?

Kalau benar Azam sendiri mengawal akaunnya, bagaimana dia boleh berkata, adiknya telah menggunakan akaunnya itu?

Siapa yang berbohong?

Azam atau SC?

Atau kedua-duanya sama-sama telah berbohong, cuma dalam keadaan yang berlainan? – ShahbudinHusin 19/01/2021.



No comments: