Ahli Parlimen PH minta bahas isu azam baki, PM berdiam diri





Dewan Rakyat menolak membahaskan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang khas hari ini.



Penolakan itu dibuat oleh Speaker selepas Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) meminta agar isu Azam Baki dibahas bersekali isu banjir yang melanda negara pada pertengahan Disember 2021 lalu.



Sebelum itu, Ahli Parlimen Datuk Seri Salahuddin Ayob (PH- Pulai) memohon agar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar memberi izin isu integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM dibahas pada sebelah petang.



"Saya hantar notis usul 18 (1), saya faham kandungan itu yang diberi kepada saya (penolakan), tetapi di sini ada PM dan hak PM untuk mengizinkan satu tajuk diperbahas pada persidangan kali ini.



"Saya tidak menafikan banjir di negara kita tetapi isu yang mendatang adalah isu integriti, satu isu yang melibatkan pejawat awam, Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jika usul ini diterima hanya satu jam nanti, pukul 4.30 petang, apa salahnya isu ini kita perdebatkan. Ia sama penting, kita boleh bahas dengan isu banjir bersekali," katanya.



Namun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun berkata, Perdana Menteri yang memanggil masyuarat khas tersebut dan beliau tidak memberi izin penambahan agenda dilakukan.



"Saya akui terima usul dua hari lepas dan saya menjawab, sidang khas dipanggil di bawah kuasa mutlak PM. Mengikut peraturan tersebut agenda sidang khas adalah di bawah kuasa mutlak beliau dan beliau menyusun atur.



"Saya tidak ada kuasa menerima usul tersebut. Agenda ditetapkan oleh PM. Sehingga hari ini saya tidak terima notis dari PM bagi usul tersebut (dibenarkan). Jadi kita menjalankan mesyuarat ikut urusan mesyuarat.



"PM tidak berniat katakan apa apa," katanya lagi.

 

No comments: