Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid dah letak jawatan, kata Exco Selangor

 


Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Zawawi Ahmad Mughni berkata peletakan jawatan iman itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid, sudah meletakkan jawatan berkuatkuasa hari ini, apabila diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad, mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS, dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar kepada imam berkenaan. Saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi saya diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis ketika mengulas tindakan imam berkenaan, berkata sebagai seorang tokoh agama tempatan, seorang individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan, patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan.

“Tugas imam sebagai dai, beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah, bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” katanya.

Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.

Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

No comments: