Membaca coretan Annuar Musa berhubung keputusan mesyuarat MT UMNO malam semalam pastinya membuat ramai yang senyum sendirian.
Beliau nampaknya lebih syok sendiri membuat kesimpulan berkenaan keputusan mesyuarat MT itu, khususnya berkaitan kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, bakal “poster boy” dalam kempen PRU15 akan datang, isyarat bahawa pemilihan UMNO diadakan lebih dulu sebelum PRU dan Ismail Sabri akan dikekalkan sehingga habis penggal.
Jika dilihat kenyataan media oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, langsung tidak disebut semua perkara itu dan apa yang dinyatakan hanyalah sokongan UMNO sekarang kepada Ismail Sabri saja.
Bagaimana sokongan akan datang atau dua tiga bulan akan datang, boleh jadi ia berubah lagi.
Annuar sebenarnya bukan ahli MT, tidak hadir dan tidak mengetahui secara detail butir perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.
Lantaran itu, coretannya yang membuat rumusan dan kesimpulan seolah-olah UMNO akan meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan “poster boy” bagi BN, tentu saja amat menggelikan hati.
Zahid Hamidi pun barangkali ketawa saja membacanya.
Terlihat bahawa yang ditulisnya itu lebih merupakan gambaran peribadi keinginan isi hatinya dan kelompok kluster menteri yang berada dalam kerajaan semata-mata.
Sekaligus, ia juga menggambarkan keinginan mereka agar Zahid Hamidi, Najib Razak, kepimpinan UMNO sekarang dan kluster mahkamah mesti dinyahkan lebih dulu daripada hireaki kepimpinan parti sebelum PRU15 diadakan.
Semua itu tidak lebih syok sendiri Annuar kerana kita semua tahu Zahid Hamidi dan Najib tidak mungkin akan membiarkan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu sebelum tibanya tarikh PRU15.
Zahid Hamidi, Najib dan Mohamad Hasan pastinya mahu PRU15 diadakan lebih dahulu sebelum pemilihan UMNO supaya mereka ada kuasa menentukan calon pilihanraya dan mengenepikan mana-mana pemimpin yang tidak sebulu serta menentang mereka daripada bertanding dalam PRU15.
Dengan kes mahkamah dan tiada jawatan dalam kerajaan, jika Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO yang ada sekarang setuju pemilihan UMNO diadakan lebih dulu sebelum PRU15, ia lebih bererti seperti mereka bertindak bunuh diri dalam karier politik masing-masing.
Tidak itu saja, laluan ke penjara untuk mereka pun akan lebih terbuka selepas itu.
Berubahnya kepimpinan UMNO sebelum PRU15 juga akan menjadikan potensi lebih terbuka untuk parti itu membatalkan keputusan PAU2020 yang menolak untuk kerjasama dengan Bersatu.
Jika Ismail Sabri jadi Presiden UMNO, ditambah dengan Annuar, Shahidan dan lain-lain pemimpin kluster kabinet UMNO ada dalam hireaki kepimpinan parti, sudah pastilah, bukan saja hubungan dengan Bersatu akan terjalin semula dengan lehih akrab, malah akan dibuka sama ruang untuk berkongsi-kongsi kerusi dalam pilihanraya.
Adakah Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO tidak sedar perkara itu?
Jawabnya sudah tentu mereka amat sedar mengenainya dan tidak mungkin sedia untuk membenarkannya berlaku.
Sebab itu, dalam hal ini Annuar jangan terlalu syok sendiri serta klimaks terlalu awal daripada yang sepatutnya dengan pandai-pandai membuat rumusan sendiri.
Banyak lagi mesyuarat MT akan berlaku selepas ini dan macam-macam keputusan boleh berubah dengannya.
Pokoknya, lalian masih berliku bagi Ismail Sabri, jangan terlalu meletakkan harapan tinggi beliau akan diletakkan sebagai calon Perdana Menteri dan “poster boy” UMNO serta BN dalam PRU15 akan datang.
Tambahan lagi, dengan longgokan kelemahan dan kegagalan Ismail Sabri yang kian menimbun tinggi hari demi hari, meletakkan beliau sebagai calon Perdana Menteri dan “poster boy” boleh juga merupakan suatu tindakan bunuh diri bagi UMNO dan BN.
Dengan segala macam kelemahan, kegagalan dan ketidakmampuannya yang begitu terserlah, kalau sebahagian besar ahli UMNO pun tidak yakin dengannya, bagaimanakah rakyat biasa mahu berketuakannya lagi memimpin negara ini?
Ismail Sabri adalah Perdana Menteri paling gagal, paling lemah dan paling buruk dalam sejarah UMNO serta juga sejarah negara, maka tiada ruang sebenarnya untuk disandarkan harapan kemenangan kepadanya.
Kalau Zahid Hamidi setuju pemilihan UMNO diadakan lebih dahulu sebelum PRU15 adalah tindakan bunuh diri baginya, meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan “poster boy” juga tindakan bunuh diri bagi UMNO dalam PRU15 nanti. – ShahbudinHusin 14/01/2022.