PADAN MUKA : Harga alat ganti kenderaan pula naik 60%. kAMI TAK KISAH,KAMI PAKAI vellfire

 


Harga alat ganti kenderaan pula naik 60%

Harga alat ganti kenderaan semua kelas dijangka meningkat sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat ekoran masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan selepas semua sektor ekonomi dibuka dan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Peningkatan harga alat ganti termasuk alat ganti terpakai turut menggusarkan pemilik bengkel kenderaan dan secara tidak langsung bakal menekan pemilik kenderaan yang sedang menanggung pelbagai kenaikan harga barang lain ketika ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak, Hadiman Ariffin yang melihat situasi itu bakal menjejaskan ramai pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kenaikan tersebut bukan sahaja melibatkan alat ganti baharu tetapi turut melibatkan alat ganti terpakai ekoran kenaikan mendadak cukai import dan caj penghantaran.

Katanya, masalah tersebut sekali gus bakal memberi kesan kepada pemilik kereta dan pengusaha bengkel termasuk yang turut berdepan risiko gulung tikar.

“Kami sedaya upaya cuba untuk mengelakkan pelanggan terbeban. Namun masalahnya kenaikan agak tinggi sehingga ada alat ganti yang naik lebih daripada 60 peratus.

harga

“Justeru, sebagai pengusaha, kami perlu ikut harga semasa dan tidak mampu menyerap kenaikan kos.

“Sebagai langkah yang lebih baik, kami sedaya upaya cuba membantu pelanggan termasuk memaklumkan kepada mereka lebih awal harga baharu alat ganti dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum meneruskan kerja penyelenggaraan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Hadiman memberitahu, peningkatan paling ketara melibatkan gas pendingin hawa yang sebelum ini berharga RM300 satu tong, dijangka meningkat kepada lebih RM400.

Menurut beliau, harga tayar pula melibatkan kenaikan antara 35 sehingga 60 peratus selain kenaikan harga minyak enjin yang meningkat lebih 15 peratus.

Katanya, walaupun berlaku kenaikan kos alat ganti, pengusaha masih memberi jaminan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan milik pelanggan.

“Namun, jaminan dikurangkan kepada enam atau tiga bulan berbanding dahulu selama setahun.

“Ini kerana terdapat risiko kepada pengusaha bengkel kerana ada alat ganti seperti kompresor pendingin hawa tulen yang tidak diberikan jaminan pengeluar. Walau apa pun kami sebagai pengusaha tetap berikan jaminan kepada pelanggan atas dasar tanggungjawab,” katanya dengan memberitahu kos upah membaiki atau menyelenggara kenderaan kekal sama.

Sehubungan itu, Hadiman menggesa kerajaan melakukan pemantauan dalam kalangan pengedar, pembekal, pengeluar dan pengilang bagi mengawal kenaikan harga alat ganti sekali gus mengelakkan pengguna terbeban.

Bagi Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula, pihaknya turut menjangkakan kenaikan tersebut.

Malah jelas beliau, peningkatan kos alat ganti akan memberi kesan kepada sektor automotif pada masa akan datang termasuk penurunan dari segi pembelian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George mendakwa, kebanyakan pengilang alat ganti kini menyimpan semua stok sedia ada sebagai langkah untuk meningkatkan harga barangan tersebut.

“Berdasarkan risikan, kita telah mengenal pasti pengilang dan mereka yang terlibat dalam bidang ini sedang menyimpan stok dan menimbulkan isu kononnya tiada bekalan alat ganti walhal hanya menunggu masa untuk mengenakan harga baharu kepada pengusaha bengkel kereta.

“Perkara ini sudah dirancang sejak September lalu. Jadi dalam keadaan ini, ia adalah satu perkara yang amat dukacita dan tidak boleh diterima,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, seorang pengusaha bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Asyraf berkata, sekiranya berlaku peningkatan mendadak terhadap alat ganti, dibimbangi berlaku lambakan komponen tiruan.

Jelasnya, ini sekali gus memberi implikasi terhadap keselamatan pengguna yang tiada pilihan dan terpaksa mencari alternatif membeli alat ganti lebih murah untuk menyesuaikan dengan kemampuan.