Anwar masih diperlukan tapi ‘saya dah kata jangan ambil katak politik,’ kata Hassan Karim

 


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
PKR dan Pakatan Harapan berisiko kehilangan sokongan jika dilihat sebagai parti oportunis, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

PETALING JAYA: Kepimpinan Anwar Ibrahim masih diperlukan walaupun PKR dan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka semalam setelah menerima dua ‘katak politik’, kata seorang Ahli Parlimen PKR.

“Saya dah sebut sebelum ini, jangan ambil calon yang melompat-lompat. Saya dah bagi peringatan secara bertulis tapi tak nak dengar,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

“Apa nak buat, saya bukan pemimpin pusat, (tetapi) hanya pemimpin kecil di parlimen saja,” beliau berkata kepada FMT.

PKR kalah kesemua 11 kerusi DUN yang ditandingi semalam, manakala secara  keseluruhan, PH yang menawan negeri itu pada PRU lalu, hanya meraih 5 kerusi kali ini, iaitu 4 menerusi DAP dan satu, Amanah.

Anwar ialah Presiden PKR dan Pengerusi PH. Kekalahan teruk itu dikaitkan dengan persetujuan Anwar menerima masuk dua daripada empat ADUN yang menjatuhkan kerajaan Melaka dalam PKR dan Amanah.

Kedua-dua calon itu, Idris Haron dan Norazman Hassan masing-masing tewas atas tiket PH di Asahan dan Pantai Kundor.

Hassan berkata PKR dan PH berisiko kehilangan sokongan jika dilihat sebagai parti oportunis.

“Ternyata penyokong PKR sekarang adalah berpelajaran, dan mereka sokong usaha PKR kerana idealisme reformasi yang berbeza dengan Umno dan kluster mahkamah.

“Tetapi kalau PKR serupa saja, apa bezanya? (Justeru) jangan oportunis. Ternyata di Melaka kita dihukum oleh pengundi,” kata beliau.

Meskipun kekalahan teruk itu sukar diterima, Hassan berkata Anwar masih diperlukan untuk memimpin PKR dan gabungan PH.

Beliau berkata Ketua Pembangkang itu telah membuat yang terbaik, malah akur kepada desakan parti komponen untuk menggunakan lambang PH d Melaka, walaupun akar umbi parti mahu lambang PKR digunakan.

“Kepimpinan Anwar masih diperlukan, dia telah buat yang terbaik untuk PH. PKR pun berkorban untuk tidak guna lambang parti itu, kerana tak mahu PH berpecah.

“Amanah dan DAP nak sangat guna logo PH tapi akar umbi PKR nak kita guna logo sendiri. (Akhirnya) Anwar setuju guna logo PH (dalam PRN Melaka),” dakwanya.

Susulan kegagalan di Melaka, Hassan menggesa Anwar supaya tegas dalam berurus dengan rakan komponen dalam PH tanpa membelakangkan sentimen akar umbi PKR.

“Tengok apa jadi, PKR yang buang logo sendiri dapat kosong kerusi. (Anwar) kena berkeras juga, tak bolehlah berlembut saja.

“Paling terbaru, bila pemimpin kanan PH tandatangan MoU dengan pihak kerajaan, pengundi akan tertanya-tanya, apa bezanya kerajaan dengan kita? Apa beza PH dengan parti lain yang terima calon lompat?” katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu dari DAP, mahu semua pemimpin utama PH tampil mengakui segala kesilapan pada PRN Melaka yang membawa kepada kekalahan teruk itu.

Bekas pemimpin DAP pusat itu berkata antara yang perlu diberi tumpuan adalah defisit kepercayaan pengundi bukan Melayu yang enggan keluar mengundi pada PRN kali ini.

“Kena ada pemimpin utama dari PH bertanggungjawab dan berani mengaku mana kekurangan dan kesilapan supaya penyokong dan pengundi di luar boleh faham dan terima kekalahan itu,” kata beliau kepada FMT.

“Cari semula formula atau pendekatan baru untuk pikat hati pengundi. Nampaknya kita sudah kehilangan keyakinan pengundi. Jadi, kita kena perbetulkan semua (ini),” katanya.

Terdahulu, kalangan penganalisis politik menyifatkan kekalahan besar PKR pada PRN Melaka, sebagai “tamparan hebat” bagi Anwar.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kekalahan itu disebabkan hilangnya keyakinan rakyat kepada Anwar, yang dilihat sebagai individu utama di sebalik keputusan PH “menerima katak politik”.

“Jika trend (kekalahan) ini berulang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tahun depan, PKR akan musnah,” katanya.


No comments: