Masa depan PH gelap jika abai suara akar umbi, kata penganalisis



facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Penyokong PH membantah gabungan itu menerima dan mencalonkan ‘katak’ politik pada PRN Melaka.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan kalah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika gabungan itu tidak mendengar suara akar umbinya, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, akar umbi membantah PH menerima calon yang melompat parti, tetapi pemimpin gabungan itu tidak mengendahkannya.

“Ini menjejaskan sentimen akar umbi terhadap PH,” katanya kepada FMT.

Awang merujuk kepada bekas ahli Umno, Idris Haron, yang bertanding dengan tiket PH di Sungai Udang, dan Nor Azman Hassan di Pantai Kundor.

Mereka adalah antara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt, membuka laluan bagi pilihan raya negeri (PRN).

Awang Azman Pawi.

“Juga, penyokong PH berpendapat tiada jaminan bahawa calon akan kekal bersama gabungan itu. Ada kemungkinan mereka akan melompat ke parti lain seperti yang pernah mereka buat,” katanya.

Tambahnya, ini antara sebab Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRN semalam, menawan 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Satu lagi sebab yang pada pendapat Awang menyumbang kepada kemenangan BN adalah tekanan berterusan Umno ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui pelbagai tuntutan bagi membantu rakyat semasa wabak Covid-19.

Ini termasuk pakej rangsangan, moratorium bayaran balik pinjaman, skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, diskaun bil utiliti dan pemberian wang tunai.

Awang berkata, kemenangan BN juga boleh dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memainkan naratif sebagai “mangsa politik”.

“Satu contoh adalah Zahid, yang mendakwa beliau menjadi mangsa Dr Mahathir Mohamad kerana tidak membubarkan Umno dan tidak mahu menyertai Bersatu.

“Ini meraih banyak undi simpati daripada akar umbi Umno kerana mereka menganggap beliau mempertahankan parti itu habis-habisan,” katanya.

Bagaimanapun, Awang mengingatkan bahawa PRN Melaka tidak akan mempengaruhi kerajaan persekutuan.

“Malah, sekalipun PH menang di Melaka, ia tidak akan mengubah senario politik negara.

“Kemenangan BN malah boleh menjadi perangkap bagi penyokongnya jika mereka leka dan melupakan misi lebih besar untuk menawan kerusi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PRN itu boleh menjadi petunjuk apa yang akan berlaku pada PRU15, ia tidak menjamin corak itu akan berulang.

“Politik bersifat dinamik dan apa sahaja boleh berlaku pada masa depan,” katanya

No comments: